Malaysia akhiri cabaran ACT di kedudukan keenam

Malaysia akhiri cabaran ACT di kedudukan keenam


SKUAD hoki negara mengakhiri cabaran Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di kedudukan keenam apabila tewas kepada Jepun di Hulunbuir, China pada Isnin.

The Speedy Tigers kendalian Sarjit Singh akur kepada kelincahan Jepun apabila tunduk 2-4 menerusi penentuan pukulan penalti selepas terikat 4-4.

Gol Speedy Tigers dalam perlawanan itu dijelmakan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit kelima, Faizal Saari (m-21, m-32) dan Mohd Fitri Saari (m-47).

Empat jaringan Jepun pula dihasilkan Kazumasa Matsumoto (m-3, m-37), Yuki Chiba (m-24) dan Seren Tanaka (m-59) sekali gus menebus kekalahan 4-5 kepada Malaysia dalam aksi liga sepusingan pada Khamis lalu.

Speedy Tigers memulakan kempen dengan seri 2-2 menentang Pakistan, tewas 2-4 kepada China, dibelasah India 1-8 dan menang 5-4 ke atas Jepun sebelum diikat 3-3 Korea Selatan dalam perlawanan terakhir.

Edisi kelapan ini merupakan kejuaraan ketiga Speedy Tigers bagi 2024 kendalian Sarjit selepas Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara pada Mei lalu.

Sebagai rekod edisi 2023 di Chennai India, Speedy Tigers muncul naib juara selepas tewas 3-4 kepada India.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top