PETALING JAYA: Hasrat Harimau Malaya untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 tidak kesampaian apabila seri tanpa jaringan menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu turun dengan misi mendapatkan tiga mata terpaksa akur apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan lima mata .
Singapura mengumpul tujuh mata mengiringi Thailand yang mengumpul 12 mata maksimum ke separuh akhir kejohanan selepas skuad Gajah Perang itu menewaskan Kemboja 3-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada Harimau Malaya apabila mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan berlangsung selepas mencipta 20 percubaan namun selain tersasar, palang gol turut menjadi penghalang.
Malaysia dihidangkan peluang keemasan untuk menembusi gawang lawan pada minit ke-28 namun tendangan lencongan yang dilakukan Stuart Wilkin melepasi palang.
Tiga minit sebelum rehat, Harimau Malaya hampir berada di depan selepas berlaku situasi satu lawan satu di antara Haqimi Azim Rosli dan penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud namun rembatannya gagal menemui sasaran.
Bersambung babak kedua, Daniel Ting nyaris menjaringkan gol pertama perlawanan namun gagal menyambar bola muntah selepas Izwan menafikan sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-60.
Dua minit kemudian, tandukan pemain naturalisasi, Josue terkena palang gol sebelum Harith Haiqal melakukan tindakan susulan namun pertahanan Singapura pantas mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti.
Pasukan pelawat hampir mengejutkan penyokong tuan rumah namun rembatan Amirul Adli Azmi dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol negara, Haziq Nadzli.
Palang gol sekali lagi menjadi penghalang buat pasukan negara apabila menafikan tandukan Harith berpunca daripada sepakan penjuru Sergio Aguero.
Pelbagai usaha dilakukan kedua-dua pasukan untuk mendapatkan jaringan bagaimanapun keputusan seri tanpa jaringan kekal hingga perlawanan ditamatkan.
Selepas ini, Singapura dan Thailand masing-masing di jadual bertemu juara dan naib juara Kumpulan B yang hanya akan diketahui esok selepas ia masih terbuka di antara Vietnam, Indonesia, Myanmar dan Filipina.
Sebagai rekod, dua tahun lalu langkah Singapura melepasi saingan kumpulan disekat oleh Malaysia yang mencatat kemenangan 4-1 namun skuad kebangsaan tewas agregat 3-1 kepada Thailand di peringkat separuh akhir. – UTUSAN