Malaysia bangkit jinakkan India, maka ke suku akhir

Malaysia bangkit jinakkan India, maka ke suku akhir


ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas dimalukan Korea Selatan pada aksi sebelah petang, skuad kuadran negara berjaya bangkit dalam perlawanan kedua hari ini dengan menumpaskan India 2-1 sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Walaupun ketiga-tiga pasukan terikat dengan mencatat dua kemenangan dalam Kumpulan C, namun pasukan bimbingan Zulkarnain Arif layak bersama India selaku naib juara kumpulan selepas kedua-duanya memiliki kelebihan dari segi pungutan mata permainan keseluruhan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu, kuartet negara Afifuddin Razali Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bermula goyah di set pertama walaupun kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga 7-7.

Kegagalan melakukan hadangan kemas dan rejaman sentiasa kurang tepat membuatkan India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh mencatat kemenangan 13-15.

Bagaimanapun, dengan sokongan padu penyokong, Malaysia berjaya bangkit di set kedua selepas mencatat kemenangan 17-15.

Dalam set penentuan, aksi meyakinkan kuartet negara membolehkan mereka mencatat kemenangan 15-10 dan pada satu ketika selesa dengan mendahului 7-1.

Selaku naib juara Kumpulan C Malaysia dijadualkan bertemu juara Kumpulan B yang akan ditentukan pada perlawanan esok.

Ketua pasukan, Amirul Zazwan berkata, skuad negara segera belajar dari kesilapan set pertama untuk bangkit memenangi set kedua dan ketiga dalam misi melangkah ke suku akhir. 

“Ini perlawanan hidup mati kami sebab pagi tadi dah kalah dengan Korea Selatan, jadi, memang nak menang.

“Kita dah cuba untuk set pertama, tapi banyak membuat kesalahan yang tak sepatutnya. Bagaimanapun, kita sudah bangkit kembali di set kedua tie-break. Alhamdulillah, malam ini boleh menang dengan India,” katanya selepas perlawanan sebentar tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top