Malaysia tidak tergolong dalam senarai negara berisiko mengalami ‘bankrap air’ seperti kebimbangan global kerana masih memiliki sumber air mentah yang mencukupi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menekankan, cabaran sebenar negara adalah pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai, serta kecekapan sistem penyampaian air.
“Cabaran utama negara bukanlah kekurangan air, tetapi bagaimana kita mengurus, melindungi dan mengoptimumkan sumber air secara strategik bagi menjamin sekuriti serta adaptasi dan kelestarian bekalan air jangka panjang,” katanya.

Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun, menunjukkan negara tidak berdepan kekurangan sumber air secara fizikal.
Fadillah mengulas saranan pakar yang menyarankan kerajaan melalui PETRA merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko ‘kebankrapan air global’.
Sebelum ini, Dr Zaki Zainudin menegaskan istilah itu bukan hanya merujuk kepada kekurangan air, tetapi juga kualiti air yang semakin terjejas akibat pencemaran.
Beliau berkata isu utama yang perlu diberi perhatian termasuk pengurusan storan air pelbagai kaedah, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai, serta kekurangan integrasi antara sumber air alternatif seperti air bawah tanah, takungan air dalam jajaran dan pinggiran sungai, air kitar semula, sistem penuaian air hujan, dan desalinasi.

“Secara umumnya, simpanan aktif empangan mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari atau tiga bulan. Pada masa yang sama, kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih berada pada tahap sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang,” katanya.
Kehilangan air terawat dianggarkan mencecah hampir RM2 bilion setahun dari segi potensi hasil.
Menurut Fadillah, jika kadar NRW dikurangkan kepada 25 peratus, negara boleh menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari air tambahan tanpa membina loji rawatan baharu.

Permintaan air negara dijangka meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030, sekali gus memerlukan perancangan sumber baharu secara lebih strategik.

Artikel lain: 9 projek bekalan air bernilai RM133 juta di Labuan berjaya disiapkan – PETRA
Malaysia mempunyai 2,986 lembangan sungai, dengan sekitar 30 peratus lembangan sungai utama berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius akibat pelepasan industri dan aktiviti guna tanah tidak terkawal, yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air.
Tekan beliau, keperluan mempercepat pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) di semua lembangan sungai utama, memperkukuh strategi storan air, pemetaan pintar sumber air bawah tanah, serta pemerkasaan elemen penyelidikan dan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan.
“Malaysia bukan negara yang akan bankrap air, namun tanpa transformasi pengurusan sumber air secara menyeluruh dan bersepadu, tekanan bekalan boleh berlaku di beberapa kawasan menjelang 2030,” katanya.

Beliau menambah, pelaksanaan strategi di bawah kerangka AIR 2040 mampu menjamin keselamatan air negara dan menjadikan Malaysia hab kecemerlangan sektor air serantau menjelang 2040.






