Malaysia Buktikan Kepimpinan ASEAN: 80 Dokumen Hasil Diterima, Dua Perjanjian Baharu Dimeterai

Malaysia Buktikan Kepimpinan ASEAN: 80 Dokumen Hasil Diterima, Dua Perjanjian Baharu Dimeterai


Malaysia menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan dengan kejayaan besar sekali gus meletakkan rantau ini pada landasan kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata kejayaan sidang tiga hari itu membuktikan keupayaan Malaysia memimpin ASEAN di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan.

“Sidang kali ini mencatat sejarah tersendiri sebagai perhimpunan pemimpin ASEAN paling besar dan berprofil tinggi dengan kehadiran semua pemimpin ASEAN, sembilan Rakan Dialog dan empat Tetamu Pengerusi,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri.

Sepanjang 26 hingga 28 Oktober, sebanyak 14 sidang kemuncak diadakan dengan 80 dokumen hasil diterima dan diluluskan termasuk kenyataan bersama dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, New Zealand dan Australia.

“Ia juga hasil daripada penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), mesyuarat pemimpin Komuniti Asia Sifar Pelepasan Karbon (AZEC) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” kata Tunku Nashrul.

Antara pencapaian utama sidang berkenaan ialah penerimaan rasmi Timor Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas memohon keanggotaan sejak 2011.

“Antara kejayaan yang dibanggakan ialah tatkala Timor Leste diterima masuk secara rasmi ke dalam ASEAN setelah memohon keanggotaan sejak 2011. Penerimaan ini menggariskan prinsip keterangkuman ASEAN dan visi perkongsian kemakmuran serantau yang selama ini diperjuangkan oleh Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata, satu lagi kejayaan penting ialah termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Ini satu manifestasi kesungguhan dan peranan aktif Malaysia dalam memudah pertikaian serantau secara aman dan konstruktif. Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada AS atas peranannya dalam memudahkan dialog dan persetujuan perjanjian damai itu,” katanya.

Dari sudut ekonomi, sidang kali ini memuktamadkan dua perjanjian penting iaitu penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

Tunku Nashrul berkata inisiatif itu bakal menawarkan akses pasaran lebih luas, prosedur lebih cekap serta membuka peluang baharu dalam sektor digital dan hijau yang turut memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rujukan utama berhubung Myanmar.

“Perdana Menteri turut menegaskan pentingnya pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berhubung Myanmar serta menggesa peningkatan bantuan kemanusiaan di negara itu,” katanya.

Katanya lagi, ASEAN juga sebulat suara menegaskan keperluan mengekalkan keamanan di Laut China Selatan dan menyuarakan sokongan berterusan kepada Palestin.

Tunku Nashrul berkata sidang turut membincangkan isu keselamatan serantau termasuk jenayah rentas sempadan, keselamatan makanan dan peralihan tenaga.

“Malaysia juga memberikan sokongan penuh kepada Filipina yang akan mengambil alih tampuk Pengerusi ASEAN pada 2026 dan berharap semangat perpaduan serta kerjasama yang dibina di Kuala Lumpur akan terus mekar dan subur,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan Perdana Menteri kepada semua petugas termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan dan media yang memastikan kelancaran sidang kemuncak itu.

Tunku Nashrul turut menzahirkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan kepada usaha diplomasi negara.






Source link

OR

Scroll to Top