Skuad lelaki negara muncul pasukan ketiga terbaik Asia selepas meraih gangsa Sukan Lacrosse Asia di Chengdu, China baru-baru ini.
SKUAD lacrosse lelaki kebangsaan mencipta pencapaian bersejarah apabila meraih pingat gangsa pada Sukan Lacrosse Asia 2026 di Chengdu, China baru-baru ini, sekali gus menjadi pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan itu.
Kejayaan tersebut hadir selepas Malaysia menewaskan Arab Saudi 15-10 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Kapten pasukan, Rashid Shukor menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha kolektif seluruh komuniti lacrosse negara.
“Pingat ini milik setiap pemain, jurulatih dan sukarelawan yang pernah mencurahkan masa mereka untuk lacrosse Malaysia.
“Kami sudah membuktikan sesuatu hari ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih, Michael Wilder memuji disiplin pemain yang berjaya melaksanakan perancangan taktikal dengan baik, khususnya dalam situasi bertekanan tinggi.
“Kami hadir dengan matlamat yang dirangka rapi dan pemain menunaikannya dengan cemerlang.

Aksi pemain negara (kanan) menggempur gawan Arab Saudi pada penentuan pingat gangsa.
“Kejayaan ini memberi suntikan semangat besar menjelang misi seterusnya,” katanya.
Presiden Persatuan Lacrosse Malaysia, Jake Iskandar Marr pula melihat kejayaan itu sebagai bukti hasil usaha jangka panjang memperkenalkan sukan berkenaan di negara ini.
“Daripada sukan yang kurang dikenali kepada pencapaian podium di Asia, ini menunjukkan potensi besar yang sedang berkembang,” katanya.
Lacrosse yang berasal daripada komuniti Orang Asli Amerika Utara, kini semakin berkembang di peringkat global, dengan format enam sebelah (Sixes) bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pencapaian di Chengdu ini dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha Malaysia memburu kelayakan ke temasya berprestij itu.
Seterusnya, skuad negara dijadual mengharungi Kejohanan Lacrosse Sixes Asia Pasifik di Sunshine Coast, Australia pada Oktober depan yang menjadi medan penting dalam laluan ke Olimpik 2028.






