Malaysia disyorkan tuan rumah Piala Dunia 2026 tanpa proses bidaan – ISTAF

Malaysia disyorkan tuan rumah Piala Dunia 2026 tanpa proses bidaan – ISTAF


IMBAS KEMBALI..Aksi pemain Thailand Tanaphon Sapyen (kanan) dan pemain negara Muhammad Noraizat Mohd Nordin dalam perlawanan akhir acara beregu Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa, Mei lalu.

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menyarankan agar Malaysia diberi kepercayaan menganjurkan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 secara terus, tanpa melalui proses pembidaan seperti kelaziman.

Cadangan itu, menurut Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia secara profesional dan tersusun.

“PSM telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepaktakraw 2024 dan Piala Asia 2025 dengan penyertaan meluas serta pengendalian yang cekap, disokong oleh lebih 70 pegawai teknikal dari 16 negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, cadangan untuk PSM jadi tuan rumah kejohanan Sepaktakraw Puala Dunia wanita dan lelaki, mula di sarankan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, ketika Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 yang berlangsung pada Mei lalu, dan sejak itu mendapat sokongan penuh daripada ISTAF.

Pengumuman tersebut hadir sehari selepas Datuk Mohd Sumali Reduan dipilih semula sebagai Presiden PSM bagi penggal 2025–2028, menerusi Mesyuarat Agung Tahunan PSM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad.

Abdul Halim turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Sumali atas pelantikan semula itu, sambil menyifatkan beliau sebagai tonggak utama dalam usaha memperkasakan serta meremajakan sukan sepaktakraw di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kepimpinan yang diteruskan ini mencerminkan kestabilan, perpaduan, serta visi yang jelas dalam membawa sukan sepaktakraw ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia, malah di persada dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan peri pentingnya pembangunan akar umbi, khususnya menerusi pelaksanaan Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan.

Program berkenaan kini melibatkan lebih 500 atlet muda dari 25 institusi di seluruh negara, sekali gus menjadi landasan kukuh untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.



Source link

OR

Scroll to Top