Malaysia dominasi Kejohanan Woodball Antarabangsa UniMAP 2025

Malaysia dominasi Kejohanan Woodball Antarabangsa UniMAP 2025


ATLET woodball negara membuktikan kehebatan di gelanggang berintensiti tinggi apabila mendominasi Kejohanan Woodball Antarabangsa UniMAP 2025 dengan menyapu bersih sembilan daripada 10 kedudukan teratas, sekali gus mengukuhkan reputasi skuad negara menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Kejohanan yang berlangsung di Pusat Sukan Woodball, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau itu disertai seramai 65 peserta, termasuk 45 pemain dari selatan Thailand mewakili wilayah Satun dan Songkhla.

Pertandingan bertaraf antarabangsa itu menjadi medan persiapan penting buat pemain kebangsaan selain memperkukuh hubungan sukan antara Malaysia dan Thailand.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pusat Penyelidikan COE Sport Engineering Research Centre (SERC) UniMAP, Prof Madya Dr Zulkarnay Zulkifli, manakala Ketua Pengurusan SERC, Prof Madya Ts Dr Mohammad Harith Amlus turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Dr Zulkarnay berkata, penyertaan kelab dari Thailand memberi nilai tambah terhadap penganjuran kejohanan berkenaan yang bukan sahaja berperanan sebagai pertandingan, malah menjadi jambatan memperkukuh hubungan serantau dalam sukan woodball.

“Kita amat menghargai kehadiran pemain dari Songkhla dan Satun yang menjadikan kejohanan ini sebagai platform mempererat kerjasama antara Persatuan Woodball Thailand dengan SERC UniMAP.

“SERC akan terus berperanan menjalankan kajian saintifik dalam bidang kejuruteraan sukan untuk meningkatkan prestasi atlet,” katanya.

Beliau menambah, SERC menjalankan pelbagai kerjasama strategik dengan persatuan sukan tempatan dan antarabangsa dalam usaha mempertingkat keupayaan atlet serta pembangunan sukan negara.

“Kami berharap kejohanan seperti ini dapat diadakan secara berkala dan akan diteruskan di wilayah Satun pada edisi akan datang,” ujarnya.

Selain kejohanan, SERC juga merancang penganjuran bengkel persediaan atlet kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA 2025.

Bengkel yang akan diadakan dua kali itu menumpukan aspek mental dan fizikal pemain agar lebih bersedia dalam mengejar pingat emas di pentas serantau.

Program berkenaan turut dijangka diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang bakal memberi suntikan motivasi kepada skuad kebangsaan.

“Kami akan memperbanyakkan aktiviti penyelidikan sukan agar hasil dapatan itu dapat digunakan bagi membantu negeri dan negara meningkatkan prestasi atlet di semua peringkat,” menurut Dr Zulkarnay.

Sementara itu, kategori lelaki diungguli Mohd Fazli dari pasukan Perlis diikuti Nopharen Anukul dari pasukan Rak Songkhla, Thailand, di tempat kedua dan Noraidil dari Perlis di tempat ketiga.

Kategori wanita juga dikuasai atlet tempatan apabila Nor Rinda Ramli dari Perlis muncul juara, diikuti Asmawana (Perlis) di tempat kedua manakala tempat ketiga disandang Thananchanok Wattanakul dari pasukan Hongs Phitak, Thailand.

Ringkasan AI

  • Atlet woodball negara mendominasi Kejohanan Woodball Antarabangsa UniMAP 2025 dengan menang sembilan daripada 10 kedudukan teratas
  • Kejohanan disertai oleh 65 peserta termasuk 45 pemain dari selatan Thailand
  • Berfungsi sebagai medan persiapan untuk Sukan SEA Thailand dan memperkukuh hubungan sukan Malaysia-Thailand
  • Penyertaan Thailand memberi nilai tambah berupa kerjasama serantau dalam sukan woodball
  • SERC UniMAP merancang penganjuran bengkel persediaan atlet untuk Sukan SEA 2025 fokus aspek mental dan fizikal



Source link

OR

Scroll to Top