KUALA LUMPUR – Putrajaya akan menggunakan platform sidang kemuncak dalam kalangan negara-negara Arab dan Islam bagi menggesa rejim Israel menghentikan kekejaman mereka di Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Oleh yang demikian, kehadiran saya ke Sidang Kemuncak tergempar ini adalah untuk membawa mandat dewan ini iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, pencerobohan dan pemusnahan pusat-pusat ibadah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), serangan terbuka ke atas wilayah-wilayah di Lubnan dan Iran termasuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar,” katanya katanya dalam sesi penerangan mengenai situasi semasa di Gaza, Lubnan dan Iran di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, Malaysia sudah mendapat jemputan daripada Raja Arab Saudi, Raja Muhammad Salman Al Saud bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu pada 11 November depan di Riyadh, Arab Saudi.
Malah Anwar berkata, pada 18 September 2024, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan satu Resolusi di 10th Emergency Special Session (ESS), Resolusi ES-10/24 di mana masyarakat antarabangsa menggesa penamatan pendudukan haram Israel di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT) dalam tempoh 12 bulan berlandaskan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB serta menuntut keadilan untuk rakyat Palestin.
Selain itu, Anwar berkata, persidangan akan membincangkan permasalahan semasa yang dihadapi oleh Agensi Bantuan dan
Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East – UNRWA) berikutan keputusan rejim Israel mengharamkan operasi pertubuhan bantuan kemanusiaan tersebut pada 28 Oktober 2024 baru-baru ini.
Tambah Anwar, Malaysia turut menggesa agar sokongan sepenuhnya diberikan kepada UNRWA dalam melaksanakan mandatnya dalam memberiperkhidmatan sosial dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di OPT dipertahankan dan diperkukuhkan.
“Malaysia berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak ini untuk meraih sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap inisiatif tersebut dan menghalang pelaksanaan keputusan Parlimen Israel
(Knesset) pada 28 Oktober 2024 lalu yang bertujuan melenyapkan UNRWA dan memburukan situasi kemanusiaan di utara Gaza yang mengalami kebuluran setelah terputus bantuan asas sejak sekian lama.
“Salah satu pendekatan yang boleh diambil adalah bagi Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam memberi sokongan kepada usaha mediasi gencatan senjata oleh Amerika Syarikat,
Mesir, dan Qatar. Sejak Mei lepas, ketiga-tiga negara ini telah membangunkan satu kerangka perjanjian yang perlu dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat,” jelas Anwar. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL