July 27, 2024

Malaysia gesa teruskan sumbangan kepada UNRWA

Malaysia gesa teruskan sumbangan kepada UNRWA


KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa negara-negara yang telah menggantung sumbangan mereka untuk meneruskan semula bantuan kewangan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat.

Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri berkata, sumbangan itu membolehkan UNRWA menjalankan tanggungjawabnya dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, termasuk perlindungan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat Palestin di Gaza.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Malaysia mengalu-alukan hasil siasatan Laporan Akhir oleh “Independent Review of Mechanisms and Procedures to Ensure Adherence by UNRWA to the Humanitarian Principle of Neutrality” kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan tersebut menolak dengan tegasnya tuduhan Israel yang mengaitkan penglibatan kakitangan PBB dengan organisasi-organisasi pengganas.

Israel secara berterusan menyebarkan propaganda penipuan, tipu daya dan gambaran yang salah mengenai fungsi dan aktiviti-aktiviti UNRWA.

Tuduhan yang tidak berasas oleh Israel bukan sahaja memburukkan reputasi UNRWA, malah telah menyebabkan beberapa negara penyumbang menggantung sumbangan kewangan mereka kepada agensi tersebut.

Kumpulan Penilai Bebas ini telah ditubuhkan oleh Setiausaha Agung PBB pada 5 Februari 2024 untuk menyiasat dakwaan Israel ke atas kakitangan UNRWA yang kononnya terlibat dengan serangan pada 7 Oktober 2023. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top