Malaysia johan keseluruhan WorldSkills ASEAN Manila 2025

Malaysia johan keseluruhan WorldSkills ASEAN Manila 2025


Sepang: Malaysia mengungguli pentas kemahiran serantau apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan di WorldSkills ASEAN Manila 2025, menewaskan 10 negara ASEAN lain termasuk tuan rumah, Filipina yang berada di tempat kedua.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata ini adalah satu pencapaian tertinggi bagi negara kerana kontinjen berjaya meraih 13 pingat emas, empat perak dan tiga gangsa serta dua Medallion for Excellence.

Katanya, sejak mula menyertai acara itu pada 1995, Malaysia menunjukkan prestasi konsisten di pentas serantau dan antarabangsa, sekali gus membuktikan pendidikan dan latihan kemahiran bukanlah kelas ketiga.

“Sebaliknya ia diiktiraf sebagai bidang bertaraf dunia yang mampu melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi serta menjadi satu platform untuk mereka menonjolkan bakat dan bersaing secara sihat dengan negara lain.

“Dalam masa yang sama, galakan daripada pemimpin tertinggi seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MTVET) juga menjadi antara faktor kepada kejayaan ini,” katanya, di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Kontinjen WorldSkills ASEAN Manila 2025, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof dan KSU Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim.

Pada pertandingan edisi ke-14 WorldSkills ASEAN Manila 2025, Malaysia menghantar 37 peserta dan 30 pakar dalam 23 bidang kemahiran, yang berlangsung pada 21 hingga 31 Ogos di Pusat Perdagangan Dunia Manila.

Dedah belia bidang TVET

Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia

Abdul Rahman berkata, penyertaan peserta kepada pertandingan seperti itu secara tidak langsung mendedahkan belia bahawa bidang TVET penting kepada ekonomi negara, menunjukkan tahap kemahiran dan daya saing anak muda pada peringkat serantau.

“Ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan Dasar TVET Negara, membuka peluang belia menonnolkan bakat serta membina jaringan antarabangsa dalam bidang kemahiran.

“Sepanjang saya berada di lokasi pertandingan, saya dapat melihat kesungguhan, ketekunan dan ketelitian peserta sehinggakan kami yang berada di luar pun mereka tidak pandang.

“Jadi saya percaya daripada kesungguhan dan etika kerja mereka itulah yang menyebabkan mereka boleh menyalakan obor kemenangan buat negara kita,” katanya sambil menyatakan mereka boleh menjadi ikon kepada generasi muda menceburi bidang kemahiran.

Susulan kejayaan itu, beliau berkata kerajaan bercadang untuk menghantar pemenang yang cemerlang menyertai pertandingan WorldSkills Asia Taipei 2025 pada November nanti, namun ia memerlukan dana yang besar.

Perkukuh ekosistem latihan

Lam Kar Chun menunjukkan pingat yang dimenangi.

“Jika berada dalam bidang robotik dan Automobile Technology sudah pasti ia memerlukan perbelanjaan tinggi untuk latihan kerana peralatannya perlulah mengikut peredaran semasa dan bersedia untuk pertandingan seterusnya.

“Bagaimanapun, kami akan terus memperkukuhkan ekosistem latihan kemahiran negara melalui peningkatan infrastruktur, latihan tenaga pengajar serta kolaborasi strategik bersama industri dan negara luar.

“Kementerian Sumber Manusia akan terus menyokong penyertaan negara dalam pertandingan antarabangsa dan mempromosikan TVET sebagai Pilihan Utama Kerjaya,” katanya.

Sementara itu, pemenang Anugerah Best of Nation, Lam Kar Chun, 20, menyifatkan kejayaannya adalah melalui sikap berdisiplin dan melakukan banyak latihan untuk memastikan dapat memperbaiki sebarang kesilapan.

“Dalam masa yang sama, sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, jurulatih dan peserta daripada bidang lain serta pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) membantu saya dalam meraih kejayaan ini. page1image59249344

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top