June 14, 2024

Malaysia kecam serangan terkini Israel


KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang terkini di beberapa kem perlindungan Palestin di Tal as-Sultan, Jabalia, Nuseirat dan Bandar Gaza sehingga mengorbankan hampir 200 orang awam yang tidak berdosa dalam tempoh 24 jam.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, tindakan rejim Israel tanpa henti dan belas kasihan terhadap rakyat Palestin adalah melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 24 Mei lalu, yang menuntut agar serangan tentera di Rafah dihentikan serta-merta.

“Tindakan berterusan Israel yang tidak menghiraukan keputusan ini menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip-prinsip yang dipegangnya.

“Ketidakpedulian masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman ini akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza.

“Ia akan menggugat aturan dunia, yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.” katanya dalam kenyataan.

Tambah Wisma Putra, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk negara anggota Konvensyen Genosid, untuk mengambil langkah yang perlu.

Jelasnya, ini bagi melaksanakan keputusan ICJ, menghapuskan pengecualian hukuman dan terus berusaha ke arah mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.

“Keganasan yang berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, rasa hormat dan selamat pada masa hadapan,” tegasnya.

Terdahulu, seramai 35,984 rakyat Palestin, terutamanya wanita dan kanak-kanak terbunuh, dan dijangka lebih ramai mangsa yang tercedera, dalam tempoh 234 hari konflik berlangsung. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top