June 14, 2024

Malaysia ketiga terbaik Asia di Chonburi 2024


PASUKAN hoki dalam dewan wanita negara melabuh kempen Piala Asia Chonburi 2024 dengan noktah kegembiraan apabila muncul ketiga terbaik selepas menewaskan Indonesia, 4-0 pada Khamis.

Perlawanan yang berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi itu juga menyaksikan penjaring gol keempat yang merupakan gol kemenangan negara, Juliani Mohamad Din dipilih pemain terbaik perlawanan tersebut.

Pada aksi perebutan pingat gangsa itu, Malaysia tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan menerusi gerakan padang, Fazilla Sylvester Silin mencatat nama selaku penjaring pada minit ketiga.

Ellya Syahirah Ellias memastikan aksi separuh masa pertama ditutup berkelebihan di hadapan 2-0 menerusi gol pukulan sudut penalti pada minti ke-13.

Separuh masa kedua, Fazilla Sylvester Silin sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minti ke-26 juga hasil gerakan padang.

Gol kemenangan Malaysia hadir minit ke-34, menerusi penalti stroke disempurnakan Juliani Mohamad Din.

Juliani dipilih pemain terbaik perlawanan tersebut.

Juliani dipilih pemain terbaik perlawanan tersebut.

Sementara itu, pengendali skuad negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, menyifatkan kejayaan mengekalkan kedudukan ketiga dan semangat juang pemain sepanjang kejohanan harus diberikan pujian walaupun pasukan tidak berjaya mencapai kejuaraan.

“Alhamdulillah kami mengekalkan tempat ketiga selain pemain telah menunjukkan semangat kebangkitan pada perlawanan menentang Indonesia hari ini. Kekecewaan semalam menjadi sejarah yang mengajar kami untuk bangkit menebusnya.

“Aksi hari ini, pemain bermain mengikut perancangan barisan kejurulatihan dan beraksi pada tahap yang terbaik. Pujian harus diberikan kepada pemain yang bermain demi maruah negara.

“Keseluruhan dalam kempen Piala Asia ini, kami gagal untuk mencapai kejuaraan tetapi berjaya mengekalkan kedudukan tempat ketiga. Pemain juga telah memberikan segala yang mereka miliki selain kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan berjaya untuk mereka perbaiki dengan cepat.

“Terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, yang tidak jemu memberikan fokus kepada pasukan hoki dalam dewan dan kami sepasukan berharap perhatian yang lebih akan diberikan terhadap sukan ini oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) selepas ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top