Malaysia, Maldives teroka kerjasama dalam bidang baharu

Malaysia, Maldives teroka kerjasama dalam bidang baharu


am@hmetro.com.my

Putrajaya: Malaysia berhasrat memperkukuhkan kerjasama dengan Maldives dalam bidang baharu termasuk tenaga solar terapung, pertahanan dan digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berlandaskan semangat manfaat bersama, beliau berkata, Malaysia dan Maldives adalah negara maritim sekali gus menyaksikan ruang kerjasama dalam pelbagai bidang adalah amat luas.

“Saya sangat gembira dengan siri mesyuarat yang kita adakan serta mesyuarat dua hala bersama menteri. Kerjasama kita merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan dan latihan.

“Terdapat juga bidang baharu yang dikenal pasti untuk diperluaskan kerjasama (antara Malaysia dan Maldives) termasuk tenaga solar terapung, pertahanan dan digitalisasi,” katanya pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu ke Malaysia, di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerjasama antara Malaysia dan Maldives juga kini diperluaskan kepada bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pendidikan tinggi, pertukaran universiti, sukan dan kesihatan.

Katanya, kerjasama kedua-dua negara turut diperluas dalam latihan diplomat serta perundingan dua hala.

Mengenai isu perubahan iklim, Anwar berkata, Malaysia menyokong penuh pendirian Maldives yang menyeru komuniti antarabangsa menghormati keperluan melindungi alam sekitar dan berkongsi tanggungjawab berkenaan.

“Dalam hal ini, kita berdiri teguh bersama beliau (Muizzu), mengikuti dengan penuh minat dan menyokong pendirian tegas yang dinyatakan Presiden (Muizzu),” katanya.

Sementara itu, Muizzu berkata, Maldives berminat untuk meneroka inisiatif bersama dalam transformasi digital seperti teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Justeru, beliau berharap dapat menyegerakan dan memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang penting terbabit.

“Kemajuan dan kepemimpinan Malaysia dalam industri halal dan ekonomi digital adalah amat membanggakan dan saya amat menghargai kesediaan Perdana Menteri (Anwar) untuk berkongsi kepakaran Malaysia dengan kami.

“Kami berharap dapat membentuk kerjasama bermakna yang dapat dimanfaatkan bersama dalam sektor dinamik ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melihat potensi besar bagi memperkukuhkan hubungan ekonomi dan mengalu-alukan pelabur Malaysia untuk meneroka peluang di Maldives, khususnya dalam zon ekonomi khas, sektor perniagaan, perkhidmatan kewangan, ekonomi maritim dan ekonomi digital.

Terdahulu, Muizzu yang dalam lawatan empat hari sejak ke Malaysia sejak semalam, diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini.

Sejurus sambutan itu, Anwar dan Muizzu mengadakan pertemuan empat mata sebelum menghadiri mesyuarat dua hala.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya menyaksikan pertukaran tiga MoU dan pertukaran nota (EoN) antaranya dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan.

Sementara, pertukaran EoN pula meliputi bidang latihan diplomatik dan penubuhan mekanisme perundingan dua hala antara Malaysia dan Maldives.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR