Malaysia masih pantau perkembangan MALBATT di Lubnan – PM

Malaysia masih pantau perkembangan MALBATT di Lubnan – PM


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Putrajaya masih memantau keadaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan bagi misi pengaman dari masa kesemasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap perkembangan mengenai pasukan pengamanan itu disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.

“Setakat ini, Duta Besar Malaysia ke Lubnan masih di Beirut dan memantau keadaan dan ada giliran penukaran pasukan yang ada kepada yang baharu akibat tamat tempoh dan tiba di sini sekitar 6 hingga 19 November kemudian penggantian kumpulan MALBATT yang lain,” katanya pada sesi sesi penerangan sidang kemuncak tergempar negara-negara Arab dan Islam berkenaan isu Palestin yang akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penghantaran dan penugasan Pasukan MALBATT di selatan Lubnan akan diteruskan dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 hingga 18 November ini.

Keputusan tersebut diambil setelah Angkatan Tentera Malaysia melalui Markas Angkatan Bersama, menerima makluman bahawa Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah menetapkan tarikh pertukaran bagi semua pasukan UNIFIL termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.

Mengulas lanjut, menurutnya, Malaysia antara 33 buah negara yang menyertai UNIFIL di Lubnan turut mengutuk serangan rejim Israel di selatan Lubnan.

“Malaysia antara 33 buah negara yang menyumbang kepada UNIFIL yang lain telah membuat kenyataan sama yang diterajui oleh Poland mengecam tindakan serangan Israel.

“Negara kuasa besar pun tidak segila dan sekejam sezalim Israel seperti yang berlaku sekarang. Jarang dalam sejarah kita lihat mereka sanggup mengenepikan undang-undang dan hukum sehingga melibatkan risiko terhadap petugas-petugas PBB di Lubnan.

“Atas inisiatif Poland sendiri kita menyokong dan melakukan kenyataan bersama oleh 33 buah negara yang mengutuk serangan itu dan tetap mempertahankan tindakan mengekalkan UNIFIL untuk keselamatan rantau yang bertelagah selama ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, penghantaran pasukan Malbatt 850-12 akan dibuat secara berperingkat dari 6 November hingga 18 November. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top