BEREGU lelaki negara memastikan satu gelaran menjadi milik Malaysia apabila dua pasangan wakil negara mara ke perlawanan akhir Malaysia Masters 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini.
Aksi final itu bakal menyaksikan pertembungan antara pasangan nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang rakan sepasukan mereka, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Kejuaraan kali ini juga bakal menamatkan penantian selama 12 tahun sejak kali terakhir gandingan negara memenangi gelaran tersebut pada edisi 2013.
Aaron-Wooi Yik menempah slot ke pentas final selepas menundukkan juara bertahan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 21-19, 17-21, 21-15 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung selama 63 minit.
Kemenangan itu turut memperkukuh rekod head-to-head Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan Denmark itu kepada 9-4, sekaligus memberi motivasi tambahan selepas kejayaan mereka merangkul gelaran Terbuka Thailand minggu lalu.
Sementara itu, Wei Chong-Kai Wun yang berada di kedudukan kelapan dunia turut melangkah ke final selepas menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan keputusan meyakinkan 21-12, 21-14 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.
Untuk rekod, kali terakhir pasangan negara menjulang kejuaraan di kejohanan ini adalah menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada tahun 2013, apabila menewaskan gandingan Korea Selatan, Ko Sung-hyun dan Lee Yong-dae 21-17, 21-16.
OR