BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan rakyat Malaysia perlu mengubah mentaliti terhadap sukan dan kecergasan dengan menjadikannya sebagai amalan hidup konsisten, bukan sekadar semangat bermusim yang akhirnya pudar.
Menurut beliau, ramai rakyat memiliki peralatan senaman seperti treadmill atau basikal statik yang dibeli dengan penuh semangat, namun berakhir sekadar menjadi perabot berhabuk di ruang tamu.
“Cabaran sebenar bukan kesedaran, tetapi konsistensi. Itu yang kita perlu ubah. Kalau kita hanya aktif pada awal tahun atau selepas beli peralatan baharu, ia tidak akan ke mana,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran bilik pameran Eco Lifestyle Med Health di ibu negara, pada Khamis.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim serta Pengasas Kumpulan Eco Lifestyle Fitness, Tan Lai Hong.
Khairy berkata, budaya kecergasan perlu bermula dengan kesedaran individu sebelum diperkukuh melalui sokongan komuniti.
Beliau menjelaskan, aktiviti berkumpulan mampu mengekalkan motivasi kerana adanya elemen sosial dan persaingan sihat yang membantu individu terus aktif.
Khairy turut menegaskan Malaysia tidak kekurangan kemudahan sukan kerana pelbagai inisiatif kerajaan dan sektor swasta sudah disediakan.
Namun yang lebih penting, katanya, ialah penerapan sikap konsisten dalam rutin harian termasuk aktiviti mudah seperti berjoging atau berbasikal.
“Jadikan kecergasan sebahagian daripada gaya hidup, sama seperti kita makan atau bekerja setiap hari,” ujarnya.
Malaysia kini berdepan cabaran kesihatan serius apabila lebih 11 juta rakyat dikategorikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan, selain mencatat kadar obesiti kedua tertinggi di Asia Tenggara.
Ringkasan AI
- Khairy Jamaluddin menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif secara konsisten, bukan sekadar semangat sementara
- Ramai rakyat membeli peralatan senaman namun akhirnya tidak digunakan dan menjadi perabot berhabuk
- Pentingnya kesedaran diri dan sokongan komuniti dalam menjalani gaya hidup aktif
- Malaysia mempunyai kemudahan sukan yang cukup, namun sikap konsisten dalam aktiviti harian seperti berjoging atau berbasikal lebih utama
- Lebih 11 juta rakyat Malaysia dikategorikan berat badan berlebihan dan negara mencatat kadar obesiti kedua tertinggi di Asia Tenggara