Malaysia negara ke-16 wujudkan RUU Pekerja Gig

Malaysia negara ke-16 wujudkan RUU Pekerja Gig


mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bakal menjadikan Malaysia sebagai negara ke-16 di dunia yang mempunyai undang-undang khas untuk melindungi pekerja sektor gig.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, RUU berkenaan yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis depan dibangunkan berasaskan penanda aras 15 negara yang memiliki undang-undang sama.

“Kita buat perbandingan antara 15 negara dengan memberi perhatian lebih kepada Singapura dan Filipina sebagai negara jiran, Amerika kerana status ekonomi maju dan India kerana undang-undangnya hampir sama dengan kita.

“Apabila saya pergi ke ILO (Persidangan Regulating for Decent Work (RDW) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland) pada Jun lalu, memang banyak negara menanti-nantikan versi Malaysia.

“Apabila kita kongsikan versi Malaysia itu, mereka rasa ini versi yang agak komprehensif dan sesuai serta tidak ekstrem jadi kita adalah negara yang ke-16 kalau (RUU Pekerja Gig) berjaya diluluskan,” katanya pada sesi Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia di World Trade Centre (WTC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Steven pada sidang media selepas sesi itu berkata, model caruman perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan diperluas daripada sistem manual sedia ada kepada struktur yang lebih mesra pekerja.

Katanya, pada masa ini pekerja perlu membuat bayaran terlebih dahulu sebelum layak menerima perlindungan sekali gus menyukarkan pencaruman.

“Salah satu sebab kadar caruman atau penyertaan agak rendah walaupun ia diwajibkan ialah pelbagai kekangan seperti kos dan keperluan membuat caruman secara manual.

“Model sedia ada bersifat prabayar iaitu pekerja perlu bayar dahulu, baru dapat perlindungan.

“Tetapi dengan adanya RUU Pekerja Gig, model Perkeso (diperluaskan kepada) postpaid iaitu pekerja dilindungi dahulu baru bayar serta pemotongan secara automatik iaitu setiap RM1 potong satu sen,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top