SIDANG Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan keupayaan Malaysia mengemudi kerjasama serantau dengan yakin dan matang.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar acara besar yang penuh protokol dan majlis rasmi.
Malah, ia menjadi titik penting bagi menonjolkan kekuatan diplomasi Malaysia dan hala tuju baharu ASEAN.
“Di sebalik kemeriahan majlis dan sidang, terserlah seni diplomasi yang dijalankan dengan teliti, sabar dan berpaksikan semangat kerjasama,” katanya.
Kejayaan diplomasi Malaysia
Menurut Prof Faiz, Malaysia berjaya mempamerkan sisi kepimpinan berkesan apabila Sidang Kemuncak kali ini berlangsung dengan teratur dan mencapai beberapa keputusan penting untuk rantau ini.
Salah satu kejayaan terbesar adalah kehadiran semula Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke sidang ASEAN.
Ia adalah sesuatu yang jarang berlaku dan mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan Malaysia sebagai tuan rumah.
Beliau berkata, Malaysia juga berjaya menjadi pengantara dalam rundingan damai antara Kemboja dan Thailand yang selama ini tegang akibat pertikaian sempadan.
Perjanjian damai yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Trump itu dianggap sebagai kejayaan diplomasi yang sukar dicapai.
“Perjanjian tersebut tidak menghapuskan semua isu, tetapi sekurang-kurangnya mengembalikan ketenangan dan membuka jalan ke arah keamanan jangka panjang,” katanya.
Peranan Malaysia di pentas global
Sidang kali ini turut menyaksikan kehadiran negara luar rantau seperti Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu khas pengerusi.
Ia dilihat sebagai satu langkah baharu yang menggambarkan kebersediaan Malaysia dalam memperluas hubungan ASEAN ke peringkat antarabangsa.
Prof Faiz menjelaskan bahawa langkah ini menunjukkan Malaysia mahu ASEAN menjadi blok pentadbiran yang lebih terbuka dan bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak, bukan hanya bergantung kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, ASEAN perlu berani bekerjasama dengan semua pihak dan Malaysia berjaya menunjukkan contoh yang baik,” katanya.
Selain itu, ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) turut diraikan di Kuala Lumpur.
Menerusinya, Malaysia berjaya memulihkan semangat asal EAS sebagai platform perbincangan yang membina apabila Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan akhirnya mendapat persetujuan semua negara peserta selepas tiga tahun terhenti akibat perbezaan pendapat.
Kemajuan ekonomi, digital
Dari sudut ekonomi pula, Malaysia menggunakan peluang sebagai pengerusi bagi memperkukuh hubungan dagangan dengan negara-negara ASEAN.
Antara langkah penting termasuk penambahbaikan ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) dan ASEAN-China Free Trade Area (ACFTA 3.0) yang memberi tumpuan kepada pemodenan sistem kastam, mempercepat proses perdagangan dan memperkukuh kerjasama dalam sektor digital serta hijau.
Prof Faiz berkata, rundingan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) juga menunjukkan kemajuan apabila perjanjian itu dijangka dimeterai pada 2026.
Inisiatif ini akan membantu menyelaras urusan perdagangan digital, aliran data dan pembayaran merentasi sempadan ASEAN.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih banyak cabaran yang perlu diselesaikan termasuklah halangan bukan tarif dan jurang pembangunan antara negara anggota.
“Kemasukan Timor-Leste sebagai ahli baharu menandakan ASEAN kini benar-benar lengkap, tetapi ia juga menuntut sokongan jangka panjang bagi memastikan semua negara dapat bergerak seiring,” jelasnya.
ASEAN dan teknologi baharu
Menurut Prof Faiz, satu lagi tumpuan utama sidang kali ini adalah usaha memastikan ASEAN tidak ketinggalan dalam bidang teknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, negara anggota perlu memperkukuh persediaan dari segi dasar, pendidikan dan infrastruktur digital agar manfaat teknologi dapat dirasai secara menyeluruh.
“ASEAN perlu bersedia lebih awal, bukan menunggu hingga terpaksa mengejar perubahan,” katanya.
Kepimpinan dan arah baharu Malaysia
Prof Faiz turut menegaskan bahawa kejayaan sidang kali ini mencerminkan kepimpinan Perdana Menteri yang mengamalkan pendekatan diplomasi aktif dan seimbang.
Katanya, Malaysia kini kembali dikenali sebagai jambatan yang dipercayai antara pelbagai kuasa besar dunia, dengan gaya kepimpinan yang berprinsip.
“Malaysia berinteraksi tanpa tunduk, berprinsip tanpa angkuh dan berdikari tanpa terasing. Ini kekuatan sebenar kita dalam dunia yang penuh cabaran,” katanya.
Walaupun sidang berakhir dengan pelbagai kejayaan, Prof Faiz mengingatkan bahawa tugas sebenar baru sahaja bermula.
ASEAN perlu memastikan semua perjanjian dan pelan tindakan yang diumumkan dapat dilaksanakan sepenuhnya, bukan sekadar tinggal di atas kertas.
“Cabaran sekarang adalah mengekalkan semangat kerjasama selepas tumpuan media berakhir.”
“Jika semangat ini kekal, Malaysia akan dikenang bukan sahaja kerana majlis yang meriah, tetapi kerana keberkesanan tindakannya,” katanya.
Di bawah kepimpinan yang jelas dan berpandangan jauh, ASEAN kini berada di landasan baharu yang lebih yakin, lebih terbuka dan lebih bersatu dalam menghadapi cabaran global masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





