Malaysia Raja Kuadran Asia

Malaysia Raja Kuadran Asia


Pasukan Malaysia meraikan kejayaan menewaskan Jepun dalam pertandingan akhir acara kuadran pada Kejohanan ASTAF Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa pada Isnin. FOTO – SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

[DIKEMAS KINI] SKUAD kuadran negara memahat sejarah apabila muncul juara edisi sulung Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Malaysia yang membariskan Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Shahalril Aiman Halim mengesahkan kejayaan tersebut selepas menumpaskan Jepun 2-0.

Skuad negara yang dibimbing Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif bermula garang apabila menang set pertama 15-8.

Jepun yang menyenaraikan Wataru Narawa, Toshinaka Naito, Yuki Sato dan Ryota Haruhara enggan berputus asa apabila memberi tentangan sengit pada permainan kedua.

Diiringi hiruk-pikuk sorakan padu peminat membakar semangat pemain untuk mengesahkan kemenangan Malaysia 15-11 ke atas Jepun sekali gus meraih gelaran pertama acara kuadran.

“Alhamdulillah gembira dengan kemenangan ini dan ia hadiah buat penonton,” ujar Amirul Zazwan.

Kejayaan tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat duo negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi yang dijangka diturunkan menentang Thailand dalam aksi final double pada jam 9.30 malam ini.

Saingan berkenaan juga menjadi misi balas dendam ke atas seteru utama negara jiran itu selepas pertemuan di peringkat kumpulan pada Sabtu lepas berakhir dengan kekalahan.



Source link

OR

Scroll to Top