Malaysia rekod RM54.13 bilion pelaburan digital pada suku ketiga

Malaysia rekod RM54.13 bilion pelaburan digital pada suku ketiga


PETALING JAYA: Malaysia merekodkan RM54.13 bilion pelaburan digital yang diluluskan pada suku ketiga 2025, sekali gus menjana 21,815 peluang pekerjaan bernilai tinggi merangkumi 402 syarikat digital, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Empat sumber utama pelaburan digital yang diluluskan adalah pelabur berpangkalan di Singapura yang menyumbang RM25.1 bilion, diikuti pelabur Malaysia (RM17.2 bilion), pelabur Amerika Syarikat (RM6.4 bilion) dan pelabur China (RM3 bilion).

Pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) merangkumi 8,328 pekerjaan yang diwujudkan, mewakili 38 peratus daripada jumlah unjuran pekerjaan, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap profesional digital, saintis data, jurutera AI dan bakat perkhidmatan khusus.

Lembah Klang terus menjadi tumpuan utama pelaburan digital, dengan Kuala Lumpur dan Selangor menarik 88 peratus daripada jumlah pelaburan, bernilai RM47.8 bilion, serta hampir 90 peratus daripada 19,417 pekerjaan digital yang diwujudkan.

Ini disokong oleh infrastruktur matang, kepekatan bakat yang kukuh dan tahap kesiapsiagaan ekosistem yang tinggi.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, momentum pelaburan yang kukuh ini mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menerajui era AI, sekali gus membolehkan negara beralih naik dalam rantaian nilai daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta penyelesaian AI berdaya saing di peringkat global.

“Untuk menjadi sebuah negara AI menjelang 2030 memerlukan lebih daripada inovasi. Ia menuntut asas digital yang kukuh, infrastruktur yang dipercayai, bakat berkemahiran tinggi serta kerjasama global yang mantap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, Malaysia merupakan destinasi utama pelaburan AI sama ada dari dalam atau luar negara, didorong oleh kedudukan strategiknya sebagai hab digital dalam Asean serta tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Komitmen MDEC dalam membangunkan bakat bersedia masa depan melalui kerjasama dengan industri teknologi telah mewujudkan ekosistem sokongan yang membolehkan inovasi, kebolehskalaan dan pertumbuhan jangka panjang.

“Melalui penyediaan insentif bersasar, pemudahcara pelabur yang proaktif serta penjajaran dasar yang rapat, MDEC memastikan proses pelaburan berjalan lancar di samping mengukuhkan peluang pelaburan digital rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top