Malaysia sambut baik komitmen dunia perakui waran tangkap Netanyahu

Malaysia sambut baik komitmen dunia perakui waran tangkap Netanyahu



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan di seluruh dunia yang memperakui waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Jemaah Menteri membincangkan pengumuman yang dibuat oleh ICC mengenai waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel dan seorang lagi bekas menterinya di atas kesalahan jenayah perang.

“Kerajaan Malaysia amat mengalu-alukannya. Kerajaan juga mengalu-alukan keputusan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia yang memperakui dan memberi kerjasama kepada ICC bagi menangkap penjenayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

ICC pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza.

ICC mengeluarkan waran tangkap itu di atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024, hari pendakwaan memfailkan permohonan waran tangkap.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan ICC itu sebagai kemenangan kepada keadilan dan kemanusiaan.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan ICC itu amat wajar kerana ia dibuat berdasarkan undang-undang dan bukti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top