Malaysia menetapkan sasaran nasional yang bercita-cita tinggi namun realistik, iaitu nilai jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2030, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pencapaian sasaran itu memerlukan industri francais mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan antara lapan hingga 10 peratus serta mempergiat usaha pengembangan ke pasaran antarabangsa.
“Lebih banyak jenama Malaysia mesti menembusi pasaran global, dengan kehadiran di sekurang-kurangnya 25 negara dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Malaysia Franchise Awards Night 2025 di Kuala Lumpur, malam ini.
Malaysia ketika ini merekodkan lebih 2,060 perniagaan francais berdaftar di bawah Pendaftar Francais (RoF) yang mencerminkan pertumbuhan industri yang didorong oleh inovasi, keyakinan pasaran dan profesionalisme pemain tempatan.
Ahmad Zahid berkata, bagi merealisasikan sasaran itu, Malaysia perlu menubuhkan inisiatif “ASEAN Franchise Gateway” bagi meletakkan negara ini sebagai pintu masuk utama pengembangan francais di rantau ini.
Katanya, hal ini kerana ASEAN mewakili pasaran lebih 680 juta pengguna yang didorong oleh pertumbuhan kelas pertengahan antara yang terpantas di dunia.
“Melalui Gateway ini, Malaysia boleh berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengantarabangsaan francais serantau, merangkumi penyelarasan peraturan, sokongan perundangan dan harta intelek, penyelarasan pensijilan halal, pemudahcaraan logistik bersepadu, pembangunan tenaga kerja berasaskan TVET serta laluan kemasukan pasaran yang dipercepatkan.
“Melengkapi usaha ini, Program Pengantarabangsaan di bawah Enhanced Franchise Development Programme (EFDP) akan memperhebat misi perdagangan bersasar ke pasaran keutamaan bagi membantu jenama Malaysia memperkukuh kehadiran global dan membina perkongsian strategik antarabangsa.
“Melalui penyelarasan peraturan, integrasi ekosistem dan pendekatan proaktif ke peringkat antarabangsa, Malaysia berpotensi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab francais utama ASEAN — titik permulaan semula jadi bagi jenama global dan serantau yang ingin menembusi Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan sebuah Akademi Francais Nasional yang diintegrasikan dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga penting bagi menangani cabaran tenaga kerja industri.
Katanya, inisiatif itu akan melahirkan tenaga kerja yang bersedia untuk industri, menyeragamkan kecemerlangan perkhidmatan serta memprofesionalkan bakat barisan hadapan.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata sektor francais kekal sebagai antara industri paling dinamik dan berkembang pesat di Malaysia walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
Beliau berkata, industri francais kini menyokong lebih 80,000 peluang pekerjaan dan mencatatkan purata pertumbuhan tahunan antara 14 hingga 16 peratus.
“Angka ini mencerminkan keyakinan pengguna yang kukuh serta permintaan domestik yang berdaya tahan,” katanya.
Di peringkat serantau, Ahmad Zahid berkata Malaysia telah muncul sebagai antara ekosistem francais terbaik di ASEAN hasil rangka kerja kawal selia yang mantap serta piawaian halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Reputasi ini meletakkan Malaysia sebagai hab yang kompetitif dan berwibawa untuk pengembangan francais serantau,” katanya.






