JURULATIH badminton perseorangan lelaki, K Yogendran memberi jaminan akan menurunkan skuad terkuat apabila berdepan Hong Kong dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Pusat Sukan Qingdao Conson, Qingdao, China pada Khamis.
“Kita telah adakan perbincangan dengan coach-coach selain dengan coach Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky. Hasilnya, kita tidak turunkan pemain berdasarkan ranking sebaliknya ikut kebolehan bersaing dengan pemain Hong Kong, ini sangat penting.
“Selain itu, ia mengambil kira persediaan semasa pemain-pemain negara, tidak lagi berdasarkan keputusan sebelum ini. Apa yang penting adalah prestasi, keputusan serta conditioning terkini pemain.
“Perlawanan esok juga kita tidak akan menurunkan scratch pair, sebaliknya barisan terbaik kerana pemain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi dalam prestasi terbaik,” katanya pada Selasa.
Begitu juga dengan pemain perseorangan lelaki dan wanita negara juga yang berada pada prestasi terbaik masing-masing ketika ini.
“Tapi saya ingin ingatkan sekali lagi bahawa ini adalah kejuaraan badminton berpasukan, jadi perancangan taktikal dan strategi memainkan peranan penting,” katanya.
Hong Kong sebelum itu membuka kempen kumpulan kekalahan 0-5 kepada Indonesia pada Selasa dengan mata pertama dijelmakan beregu campuran Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati menghadiahkan mata pertama apabila menundukkan Lui Chun Wai-Fu Chi Yan, 18-21, 21-8, 21-19.
Pemain perseorangan wanita, Putri Kusuma Wardani meneruskan momentum Indonesia apabila menewaskan, Yeung Sum Yee 21-8, 21-15 dalam masa 35 minit.
Juara remaja dunia 2023 Alwi Farhan menghadiahkan mata ketiga buat pasukan Indonesia apabila mengejutkan pemain 20 dunia, Angus Ng Ka Long, 21-12, 18-21, 21-19 dalam masa 71 minit.
Beregu wanita 32 dunia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti menambah derita pasukan pelawat apabila mengambil masa 40 minit menjinakkan gandingan 42 dunia Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan straight set 21-15, 21-17.
Beregu lelaki nombor 16 dunia Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin melengkapkan kemenangan bergaya Indonesia apabila menewaskan pemain nombor 120 dunia Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-19, 21-23, 21-8.
Mengenai perlawanan Hong Kong menentang Indonesia, Yogendran berkata: “Perlawanan menentang Indonesia pada hari ini kita dapat lihat Hong Kong menurunkan barisan kedua mereka.
“Indonesia pula menurunkan pasukan terbaik mereka ketika berdepan Hong Kong. Misi Indonesia dalam perlawanan menentang Hong Kong adalah kemenangan
“Dan pasukan kita sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan berdepan pasukan pertama Hong Kong selepas mereka menurunkan pasukan kedua berdepan Hong Kong.”
INFO
MALAYSIA BAMTC 2025
PERSEORANGAN LELAKI
1. Leong Jun Hao
2. Justin Hoh
PERSEORANGAN WANITA
1. K. Letshanaa
2. Wong Ling Ching
BEREGU LELAKI
1. Man Wei Chong-Tee Kai Wun
2. Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi
BEREGU WANITA
1. Teoh Mei Xing-Go Pei Kee
2. Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui
BEREGU CAMPURAN
1. Goh Soon Huat-Shevon Lai
2. Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin