SKUAD badminton remaja negara membuka kempen Kejuaraan Remaja Dunia 2025 dengan langkah kanan selepas menundukkan Slovenia 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, India pada Isnin.
Malaysia tidak berdepan banyak masalah apabila mendominasi keseluruhan perlawanan menerusi sistem pemarkahan baharu sembilan mata yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dengan kemenangan berpihak kepada pasukan pertama mencapai 45 mata keseluruhan.
Pemain perseorangan lelaki pertama, Lim Boon Le, menyumbang mata pertama selepas menundukkan Alex Petrovic 9-4 sebelum perseorangan wanita, Lim Zhi Sin, menambah keyakinan skuad negara apabila mudah menewaskan Lea Kyselicova 18-9.
Gandingan beregu wanita Low Zi Yu–Aqilah Ramdan turut cemerlang menumpaskan Lea Kyselicova–Eva Sarena 27-11, diikuti kemenangan bergaya beregu lelaki utama, Loh Zi Heng–Tan Zhi Yang, ke atas Andrej Macek–Andrej Suchy 36-17.
Malaysia menutup aksi dengan kemenangan meyakinkan menerusi beregu campuran pertama, Loh Zi Heng–Aqilah Ramdan, yang menewaskan pasangan Andrej Suchy–Ella Eliaskova 45-23 bagi memastikan kemenangan mutlak negara.
Dalam set kedua, skuad muda negara terus mengekalkan momentum apabila Ayu Fu Sheng mengatasi Andrej Suchy 9-2, manakala perseorangan wanita Oo Shan Zi tidak menghadapi tentangan sengit untuk menewaskan Lea Kyselicova 18-4.
Beregu wanita Low Zi Yu–Aina Hatta pula mencatat kemenangan 27-8 ke atas Ella Eliaskova–Charlotta Halova, diikuti pasangan beregu lelaki Damien Ling–Shazmir Shahrul yang menewaskan David Antonio Kozinka–Andrej Suchy 36-9.
Malaysia melengkapkan kemenangan bergaya menerusi beregu campuran kedua, Tan Zhi Yang–Nicole Tan, yang menutup aksi dengan keputusan 45-14 menewaskan Alex Petrovic–Lea Kyselicova.
Sementara itu, Zhi Yang yang bergandingan dengan Zi Heng mengakui masih perlu memperbaiki rentak permainan terutama pada fasa awal perlawanan meskipun berpuas hati dengan kemenangan pertama mereka.
“Kami perlukan sedikit masa untuk dapat ‘feeling’ dalam gelanggang dahulu,” katanya selepas perlawanan.
Zhi Yang turut menegaskan bahawa format sembilan mata yang diperkenalkan kali ini memerlukan fokus tinggi sejak awal.
“Masuk gelanggang kena terus menyerang, tidak boleh mula perlahan sebab format sembilan mata ini memang cepat.
“Secara keseluruhan saya puas hati dengan persembahan kami, cuma bahagian permulaan game masih perlu diperbaiki kerana agak perlahan,” ujarnya.
Malaysia dijadual menentang Kanada pada Selasa sebelum melabuhkan tirai kempen peringkat kumpulan menentang Australia pada Rabu, dengan juara kumpulan bakal mara ke peringkat suku akhir.
Ringkasan AI
- SKUAD badminton remaja negara menang 2-0 ke atas Slovenia dalam Kejuaraan Remaja Dunia 2025
- Menggunakan sistem pemarkahan baharu sembilan mata yang diperkenalkan oleh BWF
- Lim Boon Le dan Lim Zhi Sin, antara yang memberikan kemenangan awal kepada Malaysia
- Beregu campuran Loh Zi Heng-Aqilah Ramdan memberikan kemenangan mutlak dengan menewaskan lawan 45-23
- Malaysia akan menentang Kanada dan Australia dalam perlawanan seterusnya untuk mara ke peringkat suku akhir