PELUANG skuad badminton lelaki negara menamatkan kemarau lebih tiga dekad menjulang Piala Thomas tampak sukar pada edisi 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei di Horsens, Denmark.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, prestasi kurang meyakinkan kem perseorangan lelaki menjelang saingan di Forum Horsens itu memberi bayangan Malaysia bakal berdepan misi sukar pada kejohanan berprestij itu.
“Secara realistiknya susah sangat (Malaysia) mahu jadi juara. Satu daripada faktornya adalah barisan perseorangan lelaki kita dan daripada situ sahaja sudah nampak kelemahan berbanding negara lain yang memiliki pemain 10 terbaik.
“Siapa dalam kalangan perseorangan lelaki kita jadi juara (kejohanan Jelajah Dunia) tahun lepas? Jika ada pun, taraf kejohanan tidak sebesar mana pun. Lagipun lihatlah pemain terbaik kita Leong Jun Hao yang tersingkir awal dalam lima kejohanan disertai tahun ini. Bukanlah kata kita pandang rendah kepadanya tetapi itu adalah fakta,” katanya kepada Bernama.
Selain Jun Hao yang menduduki ranking ke-23 dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mempertaruhkan Justin Hoh (ranking ke-40), Aidil Sholeh Ali Sadikin (ranking ke-52) dan pemain profesional Lee Zii Jia (ranking ke-83) bagi menggalas tugas di bumi Eropah itu.
Kali terakhir wakil negara mendakap kejuaraan Jelajah Dunia adalah Zii Jia yang mengungguli Terbuka Australia 2024 (Super 500) manakala Aidil Sholeh menjadi pemain terakhir yang terpilih ke Piala Thomas 2026 selepas memenangi gelaran pada Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025.
Biarpun Malaysia boleh menaruh harapan tinggi kepada kem beregu lelaki untuk mencuri mata, Rashid tetap menyifatkan kekuatan mereka tidak setara dengan barisan perseorangan lelaki.
“Kekuatan pasukan kita lebih kepada beregu namun jika gandingan negara tewas, ia bakal mengundang masalah besar. Dua mata daripada beregu memang perlu diambil sekiranya mahu menang. Jadi, kem perseorangan lelaki juga perlu bangkit,” katanya.
Bagi acara beregu lelaki, cabaran negara diterajui pasangan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta gandingan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Justeru, Rashid yang juga sebahagian daripada skuad yang mendakap trofi Piala Thomas kali terakhir dimenangi Malaysia pada edisi 1992 berkata kejayaan mara ke separuh akhir sudah dianggap baik berdasarkan barisan pemain yang dipertaruhkan di Horsens.
“Sekiranya berjaya ke separuh akhir memang bagus dengan skuad yang kita ada sekarang, pingat dalam tangan dan sekurang-kurangnya maruah negara juga dapat dijaga,” katanya.
Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland.
Rashid ketika mengulas mengenai barisan pemain skuad wanita kebangsaan bagi saingan Piala Uber 2026 juga di Horsens berkata kehadiran semula beregu nombor satu wanita Pearly Tan-M. Thinaah mampu menguatkan cabaran Malaysia selepas tidak beraksi pada edisi lepas di Chengdu, China bagi memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Walaupun skuad kebangsaan mampu mara ke suku akhir, mereka bakal berdepan cabaran getir bagi memburu slot ke separuh akhir.
“China, Indonesia dan Korea Selatan antara pasukan yang kuat bagi Piala Uber. Sekiranya kita jumpa satu daripada tiga pasukan itu di suku akhir, pemain boleh bertarung namun untuk menang sangatlah susah,” katanya.
Pemain lain yang membarisi skuad Piala Uber 2026 adalah K. Letshanaa bersama Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan pemain profesional Goh Jin Wei bagi kem perseorangan manakala dua lagi beregu wanita muda Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah juga tersenarai.
Skuad wanita turut diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turki dan Afrika Selatan. – Bernama






