Malaysia tak mampu haramkan vape?

Malaysia tak mampu haramkan vape?


amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka tidak akan mengharamkan vape secara menyeluruh dalam masa terdekat kerana wujudnya pengaruh dan campur tangan kuat daripada pihak industri.

Pandangan itu dilontarkan Ketua Pasukan Tindakan Berhenti Merokok, Kluster Perubatan dan Kesihatan Akademi Profesor Malaysia, Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed susulan trend beberapa negeri yang mula mengetatkan kawalan termasuk mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik.

Katanya, langkah negeri seperti Kelantan, Johor, Terengganu, Perlis dan Kedah menutup premis vape, menamatkan lesen atau menghentikan pembaharuan lesen jualan adalah jelas menunjukkan kesungguhan peringkat negeri untuk melindungi rakyat daripada ketagihan nikotin.

“Namun di peringkat Persekutuan, dasar pengharaman sepenuhnya vape kelihatan masih rendah. Pengaruh dan campur tangan industri terlalu kuat, kerajaan dilihat lebih cenderung mengawal daripada mengharam sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia seharusnya mengambil pendekatan negara jiran yang lebih tegas termasuk mengikuti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menolak dakwaan vape sebagai alternatif selamat kepada rokok.

“Kos rawatan kesihatan akibat kesan buruk vape jauh melebihi jumlah cukai yang dikutip daripada industri. Ia memberi beban besar kepada sistem kesihatan negara dalam jangka panjang,” katanya.

Untuk rekod, antara negara yang telah mengharamkan vape ialah Thailand, Singapura, Brunei, Taiwan, Australia dan Qatar.

Menurutnya, pengharaman vape sebenarnya boleh membawa impak positif dari segi kesihatan awam seperti mengurangkan ketagihan nikotin dalam kalangan remaja, mengelak risiko kerosakan paru-paru serta mengurangkan kecenderungan beralih ke rokok biasa atau menjadi ‘dual user’.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan risiko peningkatan penyeludupan jika vape diharamkan, sebagaimana berlaku di beberapa negara lain.

“Itu bukan alasan untuk berdiam diri. Isu seludup ini berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan rasuah di sempadan. Kerajaan perlu memperkukuh kawalan, bukan menyerah kalah,” katanya.

Antara langkah dicadangkannya termasuk mempertingkat program berhenti merokok seperti pemberian subsidi terapi gantian nikotin (patch dan gum), menjalankan kempen kesedaran yang agresif serta memperketat kawalan promosi vape terutama kepada remaja.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga perlu menyelaraskan dasar dengan negeri bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan perlindungan kesihatan awam lebih menyeluruh.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kerajaan negeri Kelantan sudah mengharamkan penjualan vape sejak 2015, diikuti Johor pada 2016, Terengganu dan Perlis (berkuat kuasa 1 Ogos ini), serta Kedah yang menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen mulai 2026.

Semalam, Kerajaan Selangor pula menerusi Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan sedang menunggu maklum balas serta pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pengusaha perniagaan rokok elektronik sebelum pelaksanaan larangan penjualan rokok berkenaan di negeri itu.

Ketika ini, penjualan vape di Malaysia tertakluk kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dibentangkan dan diluluskan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top