Malaysia teguh pahat agenda pembaharuan peringkat ASEAN – PM

Malaysia teguh pahat agenda pembaharuan peringkat ASEAN – PM


KUALA LUMPUR – Malaysia berpegang teguh kepada pendekatan bersama dalam memahat agenda pembaharuan peringkat ASEAN termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan bersempadan dengan negara jiran demi kemakmuran bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepengerusian ASEAN 2025 adalah peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengemudi ASEAN berpandukan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

“Kita beriltizam melakar hala tuju ASEAN lebih berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ia tentunya mencabar untuk melunas amanah besar pada masa ini, lebih-lebih lagi ASEAN teruji dengan persaingan kuasa-kuasa besar, isu Laut China Selatan, krisis Myanmar, hal keterjaminan makanan serta perubahan iklim.

Atas kelebihan yang ada, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, termasuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China buat julung kalinya.

“Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti melibatkan semua negeri.

“Saya berharap, penganjuran ini dapat menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraftangan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, bagi menyokong penggiat kraftangan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kerajaan menetapkan semua kementerian dan jabatan yang terlibat dengan penganjuran mesyuarat dan aktiviti, hendaklah memperoleh kraftangan daripada pengusaha tempatan yang boleh mengetengahkan kehalusan, keunikan dan keaslian hasil tangan anak tempatan.

“Sebagai contoh, beg dokumen yang saya gunakan hari ini ialah kerja seni tenunan songket hasil pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top