PETALING JAYA: Malaysia menerima jemputan Russia untuk menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Russia pada 22 hingga 24 Oktober ini sekali gus menjadi langkah penting ke arah penyertaan negara ini dalam blok tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jemputan itu disampaikan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin ketika pertemuan kedua-dua pemimpin adalah bukti jelas mengenai kepentingan Malaysia kepada Russia.
“Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat akhir kita untuk menyertai kumpulan itu,” kata beliau menerusi catatan di media sosial pada Rabu mengenai lawatan dua hari ke Russia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan.
Pada 28 Julai lepas, Anwar berkata Malaysia telah menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS susulan kunjungan hormat dilakukan oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.
Pada 18 Jun tahun ini, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.
Anwar berkata, semasa perbincangan itu, beliau juga menyatakan harapan agar Russia akan meneruskan jalan yang membina ke arah penyelesaian yang aman dan mampan kepada konflik di Ukraine, bersandarkan kepada asas untuk perdamaian yang dirundingkan.
“Melalui penglibatan yang berterusan, saya percaya kita boleh memperdalamkan pemahaman semasa dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, beliau dan Putin bersetuju bahawa masyarakat antarabangsa mesti meningkatkan tekanan untuk menamatkan kempen pembunuhan beramai-ramai Israel yang kejam di Gaza.
Menyentuh pertemuan bersama Putih, Anwar berkata, kedua-dua pihak untuk optimis untuk memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Russia.
“Saya optimis bahawa asas yang diletakkan hari ini akan membawa kepada kerjasama yang bermakna antara Russia dan Malaysia pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Perdana Menteri kini berada di Russia untuk lawatan kerja dua hari di Vladivostok, sebuah bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Russia.
Beliau menghadiri EEF berlangsung pada 3 hingga 6 September dan akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno hari ini.- UTUSAN