Malaysia terlepas aksi suku akhir BAMTC 2025

Malaysia terlepas aksi suku akhir BAMTC 2025


Kai Wun (kiri) dan Wei Chong memperagakan aksi cemerlang untuk meraih mata kedua buat negara. Foto Facebook BAM

IMPIAN Malaysia untuk melangkah jauh pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China tidak kesampaian.

Skuad badminton negara yang turun dengan misi wajib menang ke atas Indonesia untuk mara ke suku akhir terpaksa akur tewas 2-3 sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan kedua Malaysia selepas tumpas 2-3 di tangan Hong Kong pada Rabu.

Gandingan berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tidak diturunkan pada aksi pertama Kumpulan B menjadi sandaran untuk meraih mata pertama.

Misi tersebut bagaimanapun gagal diterjemahkan setelah gandingan nombor empat dunia itu tewas kepada Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Jun Hao bangkit daripada ketinggalan untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia. Foto Facebook BAM

Jun Hao bangkit daripada ketinggalan untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia. Foto Facebook BAM

Pasangan suami isteri itu bermula baik apabila menang set pertama 21-17 dalam aksi di Pusat Sukan Qingdao Conson tersebut.

Bagaimanapun momentum positif gagal diteruskan apabila Soon Huat-Shevon terpaksa akur kalah 13-21, 18-21 pada baki dua permainan dalam tempoh 63 minit.

K Letshanaa yang turun bagi acara perseorangan wanita turut mengalami nasib sama apabila tumpas di tangan Komang Ayu Cahya Dewi 21-12 21-19 dalam masa 37 minit permainan.

Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang dalam acara ketiga.

Pemain yang menghuni ranking ke-28 dunia itu bermula dengan langkah kiri apabila tewas set pertama 11-21.

Jun Hao yang tampil buat kali pertama bagaimanapun memperkemaskan corak permainan sebelum menang 22-20 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu enggan menoleh ke belakang lagi apabila mengesahkan kemenangan 21-12 untuk merapatkan jurang mata 1-2 dengan Indonesia.

Harapan Malaysia untuk mengikat kedudukan kemudian disandarkan kepada Go Pei Kee-Teo Mei Xing, namun gagal direalisasikan dengan baik apabila tewas dalam pertarungan tiga set.

Pasangan yang berada di tangga ke-48 dunia itu tumpas di tangan Meilysa Trias Puspita Sari-Rachel Allessya Rose 21-18, 7-21, 17-21 dalam masa satu jam 25 minit.

Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang turun menutup gelanggang melakar keputusan positif apabila mengalahkan Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21 dalam masa 65 minit permainan.

Sebagai rekod, kem badminton negara tidak pernah melepasi peringkat kumpulan sejak kejohanan tersebut mula dipertandingkan pada 2017.



Source link

OR