Malaysia tersingkir selepas aksi mendebarkan di separuh akhir

Malaysia tersingkir selepas aksi mendebarkan di separuh akhir


Sebahagian aksi menarik Malaysia menentang Pakistan dalam perlawanan separuh akhir Piala Asia B-18 di Pusat Latihan Hoki Nasional Dazhou, China pada Jumaat. FOTO: Asian Hockey Federation

HASRAT skuad hoki lelaki remaja negara untuk melangkah ke pentas final Piala Asia Bawah (B-18) 2025 berkecai selepas tewas 3-4 kepada Pakistan menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir di Pusat Latihan Hoki Nasional Dazhou, China pada Jumaat.

Perlawanan sengit itu berakhir dengan keputusan seri 3-3 dalam masa penuh yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berintensiti tinggi dengan saling berbalas jaringan menerusi pukulan sudut penalti dan gol padang.

Pakistan memulakan permainan dengan cukup agresif apabila meraih dua jaringan awal menerusi pukulan sudut penalti hasil sentuhan Abdullah Awan pada minit ke-5 dan Hassan Shahbaz pada minit ke-8.

Namun, semangat juang tinggi ditampilkan skuad kendalian Mohd Suffian Mohamad apabila penyerang berbisa negara, Muhammad Safwan Salihe tampil cemerlang meledak hatrik kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-10, 18 dan 28 untuk meletakkan Malaysia di depan 3-2.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dikekalkan apabila Hassan Shahbaz kembali menyamakan kedudukan buat Pakistan menerusi gol padang pada minit ke-40, memaksa perlawanan ditentukan melalui penentuan penalti.

Dalam penentuan mendebarkan itu, tiga pemain Malaysia – Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Harieq Hadief Mohd Fariq berjaya menyempurnakan pukulan masing-masing, namun usaha itu belum cukup untuk menyaingi keampuhan empat pemain Pakistan yang menyumbang gol iaitu Muhammad Shaheer, Zubair Latif, Abdullah Awan dan Ali Hamza.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan turun menentang Bangladesh yang tewas kepada Jepun, 4-6 dalam aksi penentuan tempat ketiga bagi merebut pingat gangsa pada Ahad ini.



Source link

OR

Scroll to Top