am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia akan meneruskan eksplorasi minyak dan gas di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini memandangkan operasi itu dilakukan dalam perairan negara selaras dengan hak kedaulatan negara berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia dan China menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi perbincangan dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan.
“Penerokaan itu penting demi kelangsungan ekonomi negara dan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.
“Pendekatan Malaysia ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, atau dengan izin, United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982,” katanya yang menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu).
Mohamad berkata, kementeriannya juga memandang serius isu kebocoran dokumen yang menjadi saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara kepada pihak umum.
“Dalam konteks ini, Kementerian Luar Negeri serta Perwakilan Malaysia di Luar Negeri sentiasa mengendalikan dokumen-dokumen terperingkat secara teliti mengikut tatacara yang telah ditetapkan. Pihak berkuasa Malaysia sedang menjalankan siasatan terperinci dan telus berhubung perkara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd