Malaysia-Turkiye kerjasama senjata teknologi dron, tingkat pertahanan negara

Malaysia-Turkiye kerjasama senjata teknologi dron, tingkat pertahanan negara


PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkiye menjalin kerjasama dalam industri dron tempatan dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara khususnya dalam aspek pembangunan dan penggunaan sistem persenjataan berasaskan teknologi dron.

Menurut satu kenyataan, melalui kerjasama ini, Malaysia berpeluang untuk membangunkan dron buatan tempatan berasaskan platform teknologi yang telah terbukti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu perjanjian pemindahan teknologi antara syarikat DASAL Havacilik Teknolojileri A.S. dari Turkiye dan PM Defence Sdn Bhd (PMD) dari Malaysia ketika Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi, hari ini.

“Perjanjian ini merupakan lanjutan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani di Ankara, Turkiye pada 10 Jun 2024, yang turut disaksikan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kedua-dua syarikat ini juga telah memeterai perjanjian agensi pada 11 Disember 2024 di Istanbul, Turkiye,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik ini terbina atas hubungan kukuh antara Malaysia dan Turkiye yang diperkukuhkan melalui kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.

DASAL merupakan sebuah syarikat pertahanan yang pakar dalam pembangunan sistem dron pelbagai guna yang telah terbukti keberkesanannya di medan perang.

Selain itu, PMD turut mengukuhkan keupayaan pengawasan negara dengan menandatangani perjanjian strategik bersama HawkEye 360, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat yang terkemuka dalam sistem pemantauan berasaskan satelit.

“Melalui kelulusan khas oleh Kerajaan Amerika Syarikat, Malaysia kini diberi akses kepada teknologi ini yang sebelum ini hanya terhad kepada negara-negara sekutu.

“HawkEye 360 kini mengoperasikan sebanyak 36 satelit di orbit, menjadikannya antara sistem pemantauan ruang udara dan sempadan paling maju di dunia,” katanya.

PMD komited untuk terus menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi pertahanan di Malaysia melalui kerjasama antarabangsa yang strategik, demi memperkukuh kedaulatan dan keselamatan negara. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top