Malaysia, UAE tingkat prospek perdagangan selepas memuktamadkan rundingan CEPA

Malaysia, UAE tingkat prospek perdagangan selepas memuktamadkan rundingan CEPA


KUALA LUMPUR – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memuktamadkan perbincangan bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).

Perjanjian ini bertujuan untuk menghapuskan atau menurunkan tarif, mengurangkan halangan perdagangan, memupuk kerjasama sektor swasta, dan mencipta peluang pelaburan baharu.

CEPA ini menekankan pengukuhan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, dengan perdagangan dua hala bukan minyak melebihi AS$4.9 bilion pada tahun 2023.

Pada separuh pertama tahun 2024, perdagangan bukan minyak mencapai AS$2.5 bilion, peningkatan sebanyak 7% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

UAE merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, menyumbang 32% daripada perdagangan Malaysia dengan negara-negara Arab, manakala Malaysia menduduki tempat ke-12 sebagai rakan perdagangan terbesar UAE di Asia dan kelima dalam kalangan negara ASEAN.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) berkata, UAE merupakan pasaran penting, menyumbang 40% daripada eksport barangan Malaysia ke negara-negara Arab, menyerlahkan kekuatan perdagangan Malaysia di rantau itu.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yakin sebagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang pertama dan bersejarah bagi Malaysia dengan sebuah negara Anggota Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC), CEPA akan meningkatkan perdagangan, merangsang pelaburan, dan memperdalam hubungan ekonomi Malaysia-UAE.

“Kita menganggap UAE sebagai hab strategik bagi pengeksport Malaysia untuk mengakses pasaran di Timur Tengah, Afrika Utara dan beberapa pasaran di Eropah.

“Eksport Malaysia seperti elektrik dan elektronik, mesin, barang kemas, makanan diproses, buah-buahan tropika, minyak sawit, koko dan getah akan menikmati pelepasan cukai import serta-merta apabila Perjanjian ini berkuat kuasa.

“CEPA juga membuka peluang strategik bagi syarikat yang berpusat di UAE untuk mengoptimumkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, seterusnya  menyediakan peluang besar bagi perniagaan Malaysia – terutamanya PKS – melalui integrasi ke dalam rantaian bekalan serantau, pengukuhan kapasiti dan perkongsian pengetahuan melalui pelabur UAE.

:MITI akan bekerjasama rapat dengan Dr. Thani bin Ahmed Al Zeyoudi, dan Kementerian Perdagangan Luar UAE untuk memastikan ratifikasi dan pelaksanaan CEPA dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Thani berkata, CEPA mencerminkan hubungan produktif yang telah berkembang di antara UAE dan Malaysia – serta Asia Tenggara secara keseluruhannya.

“Malaysia merupakan rakan perdagangan lama dan dipercayai, dan sama seperti UAE, sedang mencari peluang untuk meningkatkan prospek ekonomi melalui peluasan perdagangan dan pelaburan yang disasarkan.

“Sebagai ekonomi keempat terbesar di rantau Asia Tenggara, dan dengan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 dijangka melebihi ramalan, Malaysia menawarkan peluang yang besar kepada pengeksport, pengusaha industri dan pemimpin perniagaan, terutamanya dalam sektor-sektor yang berkembang pesat seperti tenaga, logistik, pembuatan dan perkhidmatan kewangan,” tambahnya sambil berharap dapat menyegerakan ratifikasi CEPA, bagi merealisasikan faedah jangka Panjang bersama dan juga bagi rantau masing-masing.

Inisiatif CEPA UAE bertujuan untuk meningkatkan perdagangan luar negara bukan minyak kepada ASS1 trilion dengan mengukuhkan hubungan dengan pasaran utama di seluruh dunia.

Strategi yang proaktif ini bukan sahaja meningkatkan hubungan dalam blok ASEAN tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap ekonomi ini, membolehkannya meraih manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif sedia ada dengan negara Indonesia dan Kemboja untuk merangsang peluang perdagangan dua hala. – MalaysiaGazette
.
.



Source link

OR

Scroll to Top