Malaysian Tigress mara ke separuh akhir

Malaysian Tigress mara ke separuh akhir



aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara meraih kemenangan kedua menewaskan Thailand 2-0 seterusnya mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigress kini kekal dengan enam mata hasil dua kemenangan dan tiga kekalahan.

Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim membuka jaringan apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-41.

Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi seterusnya meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-53 dengan perlawanan kekal 2-0 sehingga masa sebenar tamat.

Biarpun berjaya meraih kemenangan namun Nasihin berkata, beliau kurang berpuas hati apabila barisan pemain tidak mempamerkan aksi yang sepatutnya.

“Nampak ada kelemahan yang harus diperkuatkan lagi. Kita menjaringkan gol menerusi PC (pukulan sudut penalti) yang cantik tapi ada beberapa PC yang gagal disempurnakan.

“Untuk perlawanan tadi, saya rasa kita perlu kuatkan beberapa perkara antaranya tahap kecergasan yang masih jauh dari pasukan gergasi Asia,” katanya.

Malaysia dijadualkan berdepan China yang juga pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 sekali lagi di separuh akhir.

Untuk rekod Malaysia Tigress sebelum ini tewas 0-5 kepada China dalam aksi liga sepusingan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top