SKUAD hoki wanita negara akan mengadakan siri jelajah di China sebagai medan membentuk kombinasi mantap menjelang Piala Negara-Negara 2 di Walcz, Poland yang akan berlangsung dari 16 hingga 22 Jun depan.
Malaysian Tigress dijadual berlepas ke China bagi mengharungi tujuh perlawanan persahabatan menentang pasukan Wilayah Liaoning, selain menjalani sesi latihan yang telah dirangka oleh barisan kejurulatihan.
Seramai 23 pemain akan dipersiapkan oleh barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Mohd Nasihin Nubli Ibrahim sambil mengingatkan anak buahnya agar memberi komitmen terbaik dan membuktikan bahawa mereka layak berada dalam pasukan negara.
Beliau berkata, Jelajah China merupakan tugasan antarabangsa kedua pada tahun ini selepas siri perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan pada Februari lalu.
“Ia bukan soal menang kalah semata-mata, tetapi saya mahu melihat komitmen dan kesungguhan semua pemain.
“Pemain yang dipilih perlu membuktikan bahawa mereka sememangnya layak ke Piala Negara-Negara 2 nanti. Ini bukan jelajah suka-suka, sebaliknya peluang untuk para pemain menunjukkan kemampuan sebenar mereka,” katanya.
Beliau juga berharap para pemain memperagakan semangat juang tinggi, cepat menyesuaikan diri dalam perlawanan dan tidak takut melakukan kesilapan, namun perlu cepat belajar.
Malah, beliau mahu melihat para pemain memberikan tindak balas yang baik menentang pasukan yang pantas, agresif dan memiliki keupayaan teknikal permainan yang tinggi.
“Pasukan Wanita Liaoning merupakan pasukan yang kuat dan dibarisi pemain remaja kebangsaan.
“Mereka juga sedang dalam persiapan terakhir menghadapi kejohanan domestik China. Fokus kami ialah untuk melihat sejauh mana pemain boleh membuat keputusan pantas ketika berada di bawah tekanan.
“Kami mahu menilai struktur bertahan apabila diserang secara bertali arus serta reaksi mental dan fizikal apabila terpaksa bermain dalam perlawanan berturut-turut,” katanya.
Mohd Nasihin turut mengakui bahawa aspek taktikal menjadi keutamaan dalam siri jelajah itu dan berharap pemain-pemain muda dapat belajar dan menimba pengalaman sebanyak mungkin di China.
“Kami mahu melihat pemain muda berani mara ke hadapan apabila bertemu lawan yang lebih matang.
“Siri ini amat penting sebelum ke Poland. Kami akan menguji pelbagai aspek taktikal seperti tekanan tinggi (high press), pembinaan serangan (build-up), dan pukulan sudut penalti, mencari kombinasi pemain terbaik serta memantau tahap kecergasan dan ketahanan pemain,” katanya.