PETALING JAYA: Penugasan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lubnan menerusi pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) akan diteruskan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) telah menerima pemakluman bahawa Force Commander (FC) Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) telah menetapkan satu tarikh pertukaran kesemua pasukan UNIFIL termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan.
Sehubungan itu katanya, penetapan rancangan pertukaran pasukan MALBATT 850-11 dengan MALBATT 850-12 telah ditetapkan pada November ini.
“Penghantaran pasukan MALBATT 850-12 secara berperingkat dari 6 hingga 18 November 2024.
“Manakala penerimaan pasukan MALBATT 850-11 secara berperingkat dari 7 hingga 19 November ini. Pasukan MALBATT 850-12 akan meneruskan tugas dan tanggungjawab Pasukan MALBATT 850-11 di bawah panji-panji dan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagaimana protokol dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pasukan UNIFIL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak kerajaan agar segera menggerakkan misi membawa pulang Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan daripada terus berdepan risiko serangan dan kegilaan Israel yang sudah sukar dibendung.- UTUSAN