Jakarta: Hanya kerana malu diumpat netizen kerana isterinya berhutang, seorang suami tergamak menetak hingga mati isterinya itu yang baru sahaja 10 hari melahirkan anak kedua mereka.
Kompas melaporkan, mangsa, Sri Wahyuni, 28, ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan berlumuran darah di rumah mereka di Marada, Kecamatan Hu’u, Dompu, Nusa Tenggara Barat (NTB).
Lebih menyayat hati, dalam kejadian Sabtu lalu itu mayat mangsa ditemui anak sulung mereka yang baru berusia lapan tahun, manakala bayi perempuan yang baru dilahirkan 10 hari lalu turut berada di sisi ibu yang sudah tidak bernyawa.
Ketua Polis Dompu, Asisten Komisioner Zuharis, berkata siasatan mendapati suspek, Syamsudin, 29, menetak isterinya menggunakan parang sepanjang 60 sentimeter di bahagian belakang leher, punggung, kepala dan tangan.
“Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek malu dan tertekan akibat hutang isterinya itu yang sering menjadi bahan umpatan netizen di Facebook (FB),” katanya.
Apa yang memilukan, sehari sebelum pembunuhan itu berlaku, pasangan suami isteri berkenaan baru saja mengadakan kenduri kesyukuran sempena kelahiran anak kedua mereka.
Suspek ditahan beberapa jam selepas kejadian dan kini disiasat mengikut Pasal 44 Ayat 3 Undang-Undang No 23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Kekerasan Dalam Rumah Tangga (KDRT) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga Rp45 juta (kira-kira RM11,730).
Perbuatan kejam itu bukan sahaja meragut nyawa wanita masih dalam pantang bersalin, malah meninggalkan dua anak kecil yang kini menjadi yatim.
Saudara terdekat mangsa, Mawar Yulia berkata bayi yang baru dilahirkan itu belum sempat diberikan nama.
“Namanya belum ada. Masa saya tanya, neneknya pun bingung nak bagi nama apa. Saya cakap, kalau mahu, biar saya bantu carikan nama,” katanya.
Mawar yang tersentuh dengan nasib bayi itu turut menyatakan hasrat untuk menjadikannya anak angkat.
Ketika ini, bayi berkenaan dijaga oleh keluarga sebelah arwah ibunya.
Difahamkan, penduduk setempat juga sedang giat mengumpul dana bagi membantu masa depan dua beradik itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd