mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas enam bulan melalui fasa pertama di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang, penyanyi Exists, Mamat, 48, melalui banyak pengalaman dan perkara baru.
Mamat yang juga kelihatan makin sihat, berisi dan wajah makin berseri berkata, semuanya berjalan dengan baik dan mengakui dia sepatutnya menjalani pemulihan ini sejak dulu lagi.
“Sekejap saja dah enam bulan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan pemulihan ini sepatutnya saya lakukan suatu masa dulu. Sekarang baru saya lakukan, saya rasa dah mula buatkan diri lebih rasa tenang.
“Sebenarnya dalam tempoh enam bulan ini memang banyak perubahan dilalui. Dalam erti kata zaman sukses dahulu dan sekarang perbezaannya kita dapat rasa.
“Ada program yang disusun dan kita ikut setiap hari. Kita juga tak boleh tinggalkan solat dan yang lain-lainnya,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro.
Julai tahun lalu, Mamat dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019.
Di Mahkamah Sesyen dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hakim Fatimah Zahari turut memerintahkan Mamat menjalani dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan.
Mamat berkata, dia dapat merasakan impak itu datang daripada banyak pihak di sana.
“Kita ada keluarga di mana kita tahu karakter dan pemikiran masing-masing. Kiranya saya antara yang paling berusia di sana dan ini buat saya lebih beringat untuk muncul kembali.
“Aktiviti kami bermula seawal jam 5 pagi. Selepas itu kami buat kerja, ada mesyuarat untuk jabatan kerana ada pelbagai jabatan. Di situ ada hirarki dan setiap program yang diadakan setiap hari ada mesyuarat pagi dan ada taklimat pagi.
“Manakala pada hujung minggu ada Friday Night Activity, Big Screen dan lain-lain. Jadi memang padat kerana setiap hari ada aktiviti,” katanya.
Menjawab pertanyaan sama ada seronok atau tidak menjalani kehidupan di sana, Mamat berkata, perasaan itu datang daripada dirinya sendiri.
“Saya rasa memang benda itu saya kena buat. Bila dalam tempoh sebulan, saya rasa kena melangkah keluar pergi ke satu tahap lagi, fasa ke fasa untuk sampai ke satu tahap yang saya rasa jadi abang-abang di sana.
“Dari fasa satu naik ke fasa kedua, selepas itu yang berikutnya dan selepas itu diberikan ujian macamana nak kena buat pembentangan dan seminar kecil untuk keluarga kecil. Semua itu saya rasakan.
“Sekarang saya berada di satu tahap yang atas. Saya berperanan sebagai koordinator dan diberikan kepercayaan oleh Rumah Pengasih untuk menguruskan rumah yang ada. Jadi ada kaki tangan di bawah saya,” katanya.
Bapa kepada tiga anak dan datuk kepada seorang cucu ini sudah melalui pelbagai fasa di Rumah Pengasih dan dapat merasai perbezaannya berbanding dulu.
“Saya tahu macam mana keadaan saya dulu. Masa masuk saya tiada rasa memberontak. Saya bersyukur tiada perasaan itu. Saya ikut macam mana yang disusun. Maknanya setiap fasa saya ikut.
“Ia bukan ikut kerana terpaksa. Saya memang mengikut fasa yang sepatutnya saya kena ikut. Setiap fasa yang ada. Saya rasa selamat itu salah satu faktor,” katanya.
Bagi Mamat, apabila berada di tempat pemulihan selepas mengambil dadah dalam tempoh jangkamasa yang agak panjang, sememangnya satu pengalaman berbeza.
“Memang kita rasa tak bebas tapi sebenarnya kita boleh keluar. Ada program luar. Kadang-kadang ada main futsal. Ada macam-macam aktiviti. Kita bukan keluar bergari.
“Cuma dalam itu kita boleh terima atau tidak keadaan untuk pemulihan. Saya dah rasa tempoh enam bulan fasa pertama dan selepas itu berikutnya. Maknanya tengok pencapaian kita.
“Saya kini boleh keluar mengadakan persembahan di seluruh negara. Sekarang tiada halangan untuk bertemu peminat. Saya dapat kebenaran dari Pengasih,” katanya yang kini bernaung di bawah Mekar Management.
Mamat ralat tak dapat umrah bersama Exists
© New Straits Times Press (M) Bhd