KEJUTAN berlaku dalam final beregu lelaki Malaysia Masters 2025 apabila pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan rakan senegara yang juga beregu ketiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk muncul juara kejohanan sebentar tadi.
Kejayaan tersebut menyaksikan pasangan nombor lapan dunia itu meraih gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Indonesia Masters pada Januari lalu.
Wei Chong-Kai Wun bermula cemerlang pada set pertama dengan aksi bertenaga dan kawalan gelanggang yang kemas.
Kesilapan sendiri daripada Aaron-Wooi Yik termasuk beberapa pukulan yang tersangkut di jaring, memberi kelebihan kepada Wei Chong-Kai Wun untuk memenangi set pertama 21-12.
Aaron-Wooi Yik bangkit pada set kedua dengan corak permainan lebih tersusun untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas menang 21-15 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Ribuan penyokong di Axiata Arena disajikan aksi mendebarkan apabila kedua-dua pasangan saling berkejar mata dalam set ketiga.
Namun, tanda-tanda keletihan pada wajah Aaron-Wooi Yik memberi ruang kepada Man-Tee untuk mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 50 minit permainan.
Kemenangan ini menjadi pengubat duka buat Wei Chong-Kai Wun yang muncul naib juara edisi 2023 selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae 15-21, 24-22, 19-21.
Dengan kemenangan ini juga, rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan negara memihak kepada Wei Chong-Kai Wun, yang kini mendahului 3-2 ke atas Aaron-Wooi Yik.
Selain trofi, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,768), manakala Aaron-Wooi Yik menerima AS$18,050 (RM77,369) selaku naib juara.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik baru sahaja muncul juara Terbuka Thailand minggu lalu dan turut memenangi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada April lepas.
Kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai kejohanan ini — ketika dikenali sebagai Grand Prix Emas — ialah pada tahun 2013 menerusi kemenangan Goh V Shem-Lim Khim Wah ke atas rakan senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, 22-20, 21-15.
OR