Kai Wun (kanan) dan Wei Chong meraih slot suku akhir Terbuka Singapura. Foto Bernama.
BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun membuktikan status mereka sebagai juara Malaysia Masters 2025 apabila mara ke suku akhir Terbuka Singapura sebentar tadi.
Kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa usaha pasangan nombor tujuh dunia itu untuk mengekalkan prestasi terbaik semakin membuahkan hasil.
Dalam saingan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, pasangan negara membenam cabaran Huang Di-Liu Yang dari China secara straight set.
Tenang menguasai gelanggang, set pertama menjadi milik pasangan yang terkenal dengan julukan “Man-Tee” itu apabila menang 21-16.
Mereka kemudian meneruskan momentum positif untuk mengesahkan kemenangan 21-16 sekali lagi, bagi meraih tiket ke suku akhir pada Jumaat.
Pertemuan di kelompok lapan terbaik itu dijangka menarik buat Man-Tee, yang boleh dianggap sebagai aksi ulangan final Malaysia Masters di Bukit Jalil pada Ahad lalu.
Mereka akan berdepan pemenang antara rakan senegara yang ditewaskan di Axiata Arena, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau pasangan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.