Man United bergolak, Ashworth tinggalkan Old Trafford

Man United bergolak, Ashworth tinggalkan Old Trafford


Manchester, United Kingdom: Manchester United hari ini mengesahkan berita mengejut peletakan jawatan pengarah sukan Dan Ashworth, hanya lima bulan selepas menggalas tugas itu di Old Trafford.

Peletakan jawatan Ashworth dilapor mendapat persetujuan selepas Red Devils tewas 2-3 di tangan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam.

Pelantikannya dilihat antara perubahan besar dalam struktur kesukanan United sejak Jim Ratcliffe membeli saham minoriti kelab gergasi Inggeris itu pada Disember 2023.

Ashworth, 53, secara rasmi menyertai kelab itu pada 1 Julai selepas bercuti lima bulan di Newcastle ketika Manchester United menunjukkan minat mereka.

Namun, Athletic melaporkan hubungan antara Ashworth dan Ratcliffe renggang susulan isu keuntungan diperoleh daripada £200 juta (RM1.12 bilion) yang dihabiskan pada jendela perpindahan musim panas.

Tiada seorang pun daripada pemain baharu ditandatangani – Leny Yoro, Manuel Ugarte, Matthijs De Ligt, Noussair Mazraoui dan Joshua Zirkzee mencipta impak berkesan dalam skuad United.

United kini menduduki tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan memecat Erik ten Hag pada Oktober, hanya empat bulan selepas melanjutkan kontrak pengendali di Belanda itu.

Pengurus baharu Ruben Amorim turut belum mencapai prestasi memuaskan apabila hanya menang sekali dalam empat aksi pertamanya di EPL.

“Dan Ashworth akan meninggalkan tugasnya sebagai pengarah sukan Manchester United dengan persetujuan bersama,” kata United dalam kenyataannya.

“Kami berterima kasih kepada Dan di atas usaha dan sokongannya ketika tempoh transisi kelab dan berharap dia lebih berjaya pada masa depan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top