LONDON – Manchester United secara rasmi mengumumkan pemain sayap mereka, Jadon Sancho akan menyertai Chelsea secara pinjaman.
Menerusi perjanjian yang dimeteraikan, Chelsea diberi pilihan pembelian tetap yang akan dilaksanakan pada musim panas akan datang.
Sancho yang dibeli oleh Manchester United dari Borussia Dortmund dengan harga £73 juta gagal menunjukkan aksi yang diharapkan. Selama tiga musim di Old Trafford, dia hanya menjaringkan 12 gol dalam 83 penampilan.
Musim lalu, hubungan Sancho dengan Erik ten Hag sangat tegang sehingga menyebabkan jurulatih itu membekukannya daripada pasukan utama kerana dianggap tidak berdisiplin dan pada akhirnya dirinya dipinjamkan ke Borussia Dortmund pada pertengahan musim 2023-2024.
Selepas kembali dari pinjaman Sancho masih menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat dalam skuad utama Ten Hag dan akhirnya membawa kepada keputusan United untuk melepaskannya ke Chelsea pada hari terakhir pasaran perpindahan musim panas.
Dalam perjanjian juga, Sancho, 24, akan menghabiskan musim pertamanya di Chelsea secara pinjaman dengan kewajipan untuk Chelsea membelinya secara kekal pada penghujung musim panas tahun 2025. – MalaysiaGazette