Manchester City, Arsenal tersungkur, Liverpool ambil alih EPL tanpa ampun

Manchester City, Arsenal tersungkur, Liverpool ambil alih EPL tanpa ampun


KEJAYAAN Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20 menerusi perjalanan yang tampak relatif mudah menghantar peringatan yang sarat makna kepada pencabar, yang kini terpaksa menggali ikhtiar lebih ampuh untuk menyingkirkan The Reds daripada singgahsana musim depan.

Pelantikan Arne Slot sebagai pengendali tugas getir yang menyusuli era kegemilangan Jurgen Klopp bukan sahaja membuahkan kejayaan cemerlang, malah diraih tanpa perubahan besar terhadap barisan pemain yang diwarisi daripada pengendali Jerman itu.

Kejayaan ini membuktikan betapa utuhnya legasi yang ditinggalkan bekas pengendali kelab Bundesliga, Borussia Dortmud berkenaan di samping menzahirkan kebijaksanaan Slot dalam merangka strategi berkesan yang melonjakkan Liverpool ke puncak kejayaan.

Kecuaian Manchester City dalam mempertahankan keunggulan selepas menjuarai empat musim berturut-turut, ditambah pula kegagalan Arsenal menuntaskan cabaran bermusim-musim lamanya, membuka ruang seluas-luasnya buat Liverpool menguasai musim ini dengan penuh dominasi.

Kini, dengan prospek Liverpool yang bakal memperkukuh lagi skuad juara sedia ada, cabaran buat seteru mereka dijangka bertambah sengit.

Bekas pemain tengah Liverpool dan England, Danny Murphy, turut menjangkakan tindak balas agresif daripada pencabar utama musim depan.

“Kejayaan ini merupakan tamparan hebat serta amaran nyata kepada para pesaing yang mungkin menganggap Liverpool tidak mampu menggugat dengan kekuatan skuad yang diwarisi dari Klopp.

“Saya percaya Mikel Arteta dan Pep Guardiola pernah menarik nafas lega pada musim lalu, tatkala melihat Liverpool tidak membuat pelaburan besar dalam pasaran pemain.

“Namun kini, mereka pasti menyedari bahawa Liverpool sedang memperkukuhkan kekuatan, dan penanda aras kejayaan ini hanya satu permulaan,” ujar Murphy.

Tambah beliau, “Mereka bukan pencabar yang alpa. Pesaing utama Liverpool pasti akan bertindak balas.

“Malah, kelab lain juga maklum bahawa Liverpool akan mengambil langkah-langkah signifikan untuk terus memperkukuh dominasi selepas kejayaan bersejarah ini.”

Kemenangan iitu bukan sahaja menyemarakkan semula semangat The Reds, malah meletakkan gergasi Merseyside di landasan yang kukuh untuk melakar era baharu kegemilangan di bawah teraju Slot.



Source link

OR

Scroll to Top