PENYERANG Manchester City, Erling Haaland menyifatkan tahap keyakinan penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu berada pada tahap terendah.
Malah, bekas bintang kelab Bundesliga Jerman Borussia Dortmund itu juga menegaskan situasi tersebut memberikan kesan besar kepada prestasi juara empat kali berturut-turut berkenaan.
“Sudah tentu tahap keyakinan bukanlah yang terbaik. Kami tahu betapa pentingnya keyakinan dan anda boleh lihat ia memberi kesan kepada setiap individu.
“Begitulah keadaannya Di sini, kami perlu teruskan dan kekal positif walaupun situasi begitu sukar ketika ini.” kata pemain Norway berkenaan.
Haaland, dengan 76 gol dalam 83 penampilan Liga Perdana Inggeris sejak menyertai City dari Borussia Dortmund pada 2022, menjaringkan 13 gol dalam liga utama musim ini, namun sepanjang lapan perlawanan terakhir City, hanya meledak dua gol juga mengkritik prestasinya.
“Saya juga melihat diri saya dahulu, saya belum melakukan perkara yang cukup baik. Saya tidak memanfaatkan peluang saya. Saya perlu melakukan yang lebih baik.
“Saya perlu melakukan yang lebih baik, bekerja lebih keras, dan mula beraksi kerana persembahan pada hari ini tidak cukup bagus,” katanya.
Biarpun begitu Guardiola enggan mengkritik penyerangnya itu berkata: “Tanpa dia pastinya kami akan menjadi lebih teruk tetapi saya suka pemain berasa begitu.
“Ya, saya juga tidak bersetuju dengan beberapa cara Erling, tetapi dia akan bangkit berjuang untuk perlawanan yang seterusnya.”
Jhon Jader Duran Palacios dan Morgan Elliot Rogers sebelum itu menghadiahkan kekalahan keenam kepada Manchester City musim ini, sekaligus menyaksikan misi penyandang juara Liga Perdana Inggeris tersebut mempertahankan kejuaraan semakin samar apabila tewas kepada Aston Villa, 2-1 di Stadium Villa Park.
Kedua-dua pasukan tampil ke bumi Birmingham dengan misi sama iaitu kemenangan dengan Aston Villa kendalian Unai Emery, 53, mencari semula rentak tiga mata selepas tumbang 1-2 kepada Nottingham Forest semasa kunjungan ke Stadium City Ground pada Ahad lalu.
Anak buah Guardiola, 53, pula tampil mencari tonik kemenangan dijelmakan ketika menewaskan Nottingham Forest, 3-0 selepas kemarau tiga mata dalam tiga perlawanan pelbagai pertandingan terakhir tewas 1-2 kepada Manchester United (EPL), 0-2, Juventus (Liga Juara-Juara) seri 2-2 Crystal Palace (EPL) pada 5 Disember.
Jhon Duran, 21, kelahiran Zaragoza, Antioquia, Colombia menyertai kelab berpangkalan di Aston, Birmingham pada Januari 2023 menghadirkan gol minit ke-16 seterusnya gol ketujuh musim ini selepas menyudahkan sentuhan pemain berusia 22 tahun, Morgan Rogers menewaskan penjaga gol The Citizens, Stefan Ortega dari Jerman.
Rogers, asal dari Halesowen, England, yang menjadi arkitek dalam menjelmakan gol pertama buat The Villans sekali lagi menjadi duri dalam daging buat angkatan Guardiola apabila meledak jaringan kedua minit ke-65, juga jaringan kelima musim ini menewaskan sekali lagi Ortega, 32, bekas penjaga gol kelab Bundesliga Jerman, Arminia Bielefeld pada 2022 tersebut.
Manchester City kemudian berusaha bangkit memberikan tekanan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan pemain tengah Phil Foden, 24 pada minit ke-93 untuk keputusan memihak Aston Villa, 2-1 untuk berada di tangga kelima liga dengan 28 mata manakala The Citizens, kedudukan keenam dengan 27 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.
Aston Villa selepas ini akan berkunjung ke St James’s Park berdepan Newcastle United manakala Manchester City pula melayan kunjungan Everton di Stadium Etihad pada Khamis.