Manchester City, Chelsea, Newcastle ke Eropah

Manchester City, Chelsea, Newcastle ke Eropah


MANCHESTER City, Chelsea dan Newcastle United mengesahkan slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan ketika Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas diikat Crystal Palace, 1-2 di Stadium Anfield pada Ahad.

Kejuaraan liga ke-20 bagi Liverpool, yang menyamai rekod, serta penyingkiran Ipswich Town, Leicester City dan Southampton telah pun ditentukan lebih awal, menjadikan tumpuan kini terarah kepada perebutan tempat ke kejuaraan kelab Eropah.

Liverpool dan Arsenal terlebih dahulu mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara setelah menamatkan saingan di dua tangga teratas, manakala Tottenham Hotspur akan menyertai dua gergasi wakil England selepas memenangi Liga Europa pada Khamis lalu.

Manchester City memastikan musim yang mengecewakan tidak berakhir dengan kehampaan apabila menewaskan Fulham 2-0 untuk menamatkan saingan di tangga ketiga, sekali gus layak ke Liga Juara-Juara buat musim ke-15 berturut-turut.

Gol pertama City dijaringkan Ilkay Gundogan menerusi sepakan gunting sebelum Erling Haaland menambah jaringan melalui sepakan penalti.

Chelsea pula menamatkan impian Nottingham Forest untuk kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak bergelar juara Eropah pada tahun 1980.

Jaringan Levi Colwill yang menyudahkan hantaran Pedro Neto memastikan kemenangan 1-0 buat Chelsea di Stadium City Ground bagi mengesahkan kedudukan keempat.

Sementara itu, Forest kendalian Nuno Espírito Santo pula terpaksa berpuas hati di tangga ketujuh, sekali gus layak ke Liga Konferensi.

Newcastle United pula hampir terlepas tiket Liga Juara-Juara selepas tewas 0-1 kepada Everton hasil tandukan Carlos Alcaraz di Stadium St James’s Park.

Namun, kekalahan Aston Villa 0-2 kepada Manchester United membantu The Magpies mengekalkan kedudukan kelima.

Perlawanan di Old Trafford menyaksikan Villa terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol Emi Martinez dibuang padang kerana menjatuhkan Rasmus Hojlund di luar kotak penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Villa menyangka mereka telah mendahului apabila jaringan Morgan Rogers disempurnakan, tetapi gol itu dibatalkan kerana beliau dianggap menendang bola daripada pegangan penjaga gol Altay Bayindir.

Keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang mengekalkan keputusan pengadil mencetuskan kemarahan pasukan pelawat.

Manchester United kemudiannya mengambil peluang apabila Amad Diallo menanduk masuk hantaran Bruno Fernandes sebelum Christian Eriksen menyempurnakan sepakan penalti untuk kemenangan mutlak penamat musim di tangga ke-15.

Kekalahan Villa menyaksikan anak buah Unai Emery menamatkan kempen di tempat keenam sekali gus slot ke saingan Liga Europa musim depan.

INFO

LIGA PERDANA INGGERIS 2024/25

Juara: Liverpool

Piala FA: Crystal Palace

Piala Liga: Newcastle United

LIGA JUARA-JUARA 2025/26

Liverpool

Arsenal

Manchester City

Chelsea

Newcastle United

Tottenham Hotspur (juara Liga Europa)

LIGA EUROPA 2025/26

Aston Villa

LIGA KONFERENSI 2025/26

Nottingham Forest

LIGA KEJUARAAN 2025/26

Leicester City

Ipswich Town

Southampton



Source link

OR

Scroll to Top