MANCHESTER City meneruskan kemaraan ke final Piala FA buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Nottingham Forest 2-0 di Stadium Wembley, sekali gus mengekalkan harapan mengelak musim tanpa sebarang kejuaraan.
City membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Rico Lewis, yang menyudahkan hantaran Mateo Kovacic dengan tenang ke penjuru gawang untuk membungkam sorakan penyokong Forest.
Tersentak dengan jaringan awal, Forest bergelut sepanjang babak pertama, hanya menguasai 25 peratus penguasaan bola tanpa sebarang percubaan tepat ke arah gol.
“Kami bermula dengan sangat buruk, dan City pula memulakan perlawanan dengan begitu baik..
“Bolos awal seperti itu menyukarkan segala-galanya,” kata pengendali Forest, Nuno Espirito Santo.
Forest hampir menyamakan kedudukan sejurus separuh masa kedua bermula apabila pemain gantian, Anthony Elanga, gagal menyempurnakan hantaran Callum Hudson-Odoi.
Kegagalan itu dihukum pantas apabila Josko Gvardiol menanduk masuk gol kedua City hasil sepakan sudut Omar Marmoush lima minit kemudian untuk jaringan keenam peribadinya musim ini.
Forest, yang memburu penampilan pertama di final Piala FA sejak 1991, hampir merapatkan jurang apabila voli Morgan Gibbs-White menggegar palang ketika penjaga gol City, Stefan Ortega, sudah tertewas.
“Saya tidak pernah menyepak bola sebaik itu dengan kaki lemah…
“Apabila bola itu mengenai palang, saya tahu ia bukan hari kami,” luah Gibbs-White.
Nasib malang Gibbs-White berterusan apabila sekali lagi terkena tiang selepas menggelecek Ortega, namun gagal menyempurnakan peluang dari sudut sempit.
“Saya benar-benar kecewa. Saya minta maaf kepada penyokong. Saya sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya satu peluang itu,” jelasnya.
Forest terus memburu gol namun hampa apabila Taiwo Awoniyi turut terkena tiang, sebelum tandukan susulan Gibbs-White berjaya diselamatkan Ortega.
City kemudiannya mengawal permainan dengan baik hingga ke wisel penamat.
Kemenangan itu menandakan rekod penampilan ketujuh berturut-turut City di separuh akhir Piala FA dan kini bakal berdepan Crystal Palace — yang menewaskan Aston Villa 3-0 pada final di Stadium Wembley 17 Mei ini.
Biarpun musim ini dianggap mengecewakan berbanding standard luar biasa mereka, City berpeluang menutup tirai dengan kejuaraan dan kelayakan Liga Juara-Juara.
Pengendali, Pep Guardiola, bagaimanapun tidak menganggap kejayaan di Piala FA dan layak ke Eropah sebagai penawar musim hambar keluarga besar The Citizens.
“Tidak…Kami jauh ketinggalan berbanding Liverpool musim ini,” kata Guardiola.
Sementara itu, Nuno tetap optimis dengan pencapaian Forest musim ini, yang mungkin berakhir dengan kedudukan lima terbaik liga.
“Hari ini memang menyedihkan, tetapi esok kita bangkit semula. Masih banyak perkara besar yang menanti kami,” katanya.





