MANCHESTER City akan berdepan dengan krisis buat pertama kali sekiranya penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas dalam perlawanan keempat berturut-turut musim ini.
Namun pengendali Manchester City, Pep Guardiola percaya City, yang mengekori pendahulu Liverpool dalam kedudukan liga dengan dua mata mampu bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejuaraan sebelum ini.
“Buat pertama kali pasukan terdedah kepada risiko (tewas empat kali berturut-turut), namun diharapkan situasi tidak berlaku lagi.
“Dua puluh minit menentang Fulham kami tidak bagus, menentang Bournemouth kami tidak bagus, tetapi baki perlawanan kami tampil bagus dan bertambah baik, kami akan lihat apa yang berlaku,” kata Guardiola.
Angkatan Guardiola akan berdepan Brighton & Hove Albion asuhan Fabian Hürzeler yang kini berada di kedudukan kelapan liga di Stadium Komuniti Amex.
City tersingkir daripada Piala Liga selepas dijinakkan 1-2 Tottenham Hotspur, kemudian kalah 1-2 dalam aksi liga di Bournemouth, sebelum diaibkan 1-4 kelab Portugal, Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara.
Guardiola tidak pernah tewas empat kali berturut-turut sebagai pengendali, City mengharungi enam perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan pada musim pertamanya pada 2016/17.