City dijangka akan kembali menjuarai EPL musim ini.
BEKAS pertahanan England, Joleon Lescott menolak peluang Liverpool untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan yakin bekas kelabnya, Manchester City akan bangkit menebus kekecewaan musim lalu.
Menurut Lescott, skuad kendalian Pep Guardiola kini berada dalam keadaan lebih bersedia selepas berehat musim 2025 yang mengecewakan.
Untuk rekod, City gagal meraih sebarang trofi buat kali pertama dalam lima tahun musim lalu.
“Walaupun musim lalu tidak seperti yang diharapkan, mereka tetap antara pasukan pilihan. Ini City, ini Pep Guardiola dengan barisan pemain terbaik dunia.
“Adalah tidak masuk akal untuk tidak menganggap mereka sebagai pencabar utama setiap musim,” katanya.
City sebelum ini mencipta sejarah dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) empat musim berturut-turut dari 2021 hingga 2024, namun kempen mereka menerima tamparan musim lalu apabila menamatkan liga di tempat ketiga, 13 mata di belakang juara, Liverpool.
Lescott menyifatkan kejatuhan prestasi itu sebagai kesan keletihan mental dan fizikal selepas dominasi yang panjang.
“Mereka telah capai sesuatu yang belum pernah dilakukan mana-mana pasukan dalam sejarah bola sepak Inggeris. Sudah tentu itu akan memberi kesan bukan sahaja dari segi fizikal, tapi juga mental,” katanya.
Guardiola juga aktif di pasaran perpindahan, membawa masuk pemain seperti James Trafford, Tijjani Reijnders, Rayan Ait-Nouri, Rayan Cherki dan Sverre Nypan bagi memperkukuh skuad.