Manchester United bernasib baik tak ditendang dari EPL

Manchester United bernasib baik tak ditendang dari EPL


United diyakini akan bangkit lebih kuat musim depan. FOTO: AFP

MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen mengakui kelabnya bernasib baik tidak tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas melalui kempen yang cukup mengecewakan.

United menamatkan saingan liga di tangga ke-15 dengan hanya 11 kemenangan dan mengutip 42 mata, hanya 17 mata di atas zon penyingkiran yang dihuni Leicester City.

“Patut rasa bertuah kami berada di kedudukan sekarang, tidak tersingkir dengan prestasi musim ini. Musim depan perlu jadi lebih baik dan saya yakin ia akan berlaku,” katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu turut memuji sikap penyokong setia United yang kekal memberi sokongan meskipun prestasi pasukan sering mengecewakan.

“Terlalu banyak perlawanan musim ini apabila mereka (penyokong) boleh sahaja kecewa dengan mutu permainan kami. Tapi mereka tetap berdiri bersama kami.

“Di laman sendiri, walaupun prestasi tidak memuaskan, mereka masih beri sokongan. Ketika beraksi di tempat lawan pula, mereka lebih bersemangat walaupun ketika kami di tahap paling buruk. Kelab ini bertuah memiliki penyokong sejati seperti mereka,” katanya.

Eriksen dibawa masuk oleh Erik ten Hag pada musim panas 2022 dan memenangi Piala FA serta Piala Liga di bawah pengendali dari Belanda itu. Namun, Ten Hag digantikan oleh Ruben Amorim pada Oktober lalu selepas prestasi pasukan merosot.

Bagaimanapun, Eriksen yakin Amorim mampu membawa kebangkitan buat Red Devils.

“Ada perkembangan yang boleh dilihat. Walaupun keputusan perlawanan tidak mencerminkan sepenuhnya, namun corak permainan di bawah Amorim berbeza dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Secara individu, para pemain sangat berkualiti dan tidak sepatutnya berada di kedudukan tersebut. Terserah kepada mereka untuk bangkit semula. Saya percaya musim depan pasukan ini akan tampil jauh berbeza,” katanya.

Eriksen yang dijangka meninggalkan Old Trafford musim panas ini masih belum membuat keputusan mengenai destinasi seterusnya, selain kemungkinan untuk bersara.

“Ada sedikit masa untuk bercuti dan menyertai pasukan kebangsaan. Selepas itu, kita akan lihat di mana saya akan mulakan musim baharu. Ada beberapa pilihan, tapi buat masa ini tiada yang muktamad,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top